Kes Penipuan Dalam Talian Meningkat, Kempen Kesedaran Wajar Dipergiat
Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa meluahkan kebimbangan dengan peningkatan kes penipuan dalam talian.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata ini kerana sebanyak 47,854 kes telah direkodkan setakat September 2025 dengan jumlah kerugian mencecah RM1.919 bilion iaitu meningkat lebih 12,000 kes berbanding tahun lalu.
“Masyarakat di Tampin juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa penipuan. Pada hemat saya, rakyat sering menjadi mangsa bukan kerana cuai tetapi kerana kurang pendedahan terhadap teknik penipuan terkini.
“Sehubungan itu, saya mohon agar J-KOM memainkan peranan dengan mewujudkan Program Latihan Keselamatan Siber Komuniti di sekolah-sekolah, masjid, KRT, persatuan penduduk dan sebagainya,” katanya.
Mohd Isam berkata demikian ketika perbahasan RUU Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut kata beliau, bahan komunikasi kerajaan juga hendaklah dibuat dalam bahasa Melayu yang mudah dan ringkas serta dibuat dalam bentuk visual agar mesej pencegahan penipuan lebih mudah untuk difahami.
“Selain itu, kerjasama lebih erat dan berterusan antara Kementerian, JKOM, syarikat telco serta bank perlu dimantapkan supaya dapat memberi amaran awal terhadap pelbagai jenis scam baharu,” ujar beliau.
Mengulas lanjur beliau turut menggesa agar syarikat telco dipertanggungjawabkan dalam menangani isu penipuan kewangan dalam talian ini.
“Berhubung tindakan syarikat telco yang mahu mengenakan caj RM10 sebulan untuk perkhidmatan perlindungan scam atau penipuan adalah tidak munasabah. Tindakan mengambil kesempatan tersebut adalah tidak wajar dan saya sama sekali tidak bersetuju.
“Sepatutnya, syarikat telco yang perlu diwajibkan untuk membayar pampasan atau jumlah kerugian sebenar kepada para pengguna yang selama ini menjadi mangsa penipuan melalui platform telekomunikasi,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











