Pelaburan Cemerlang, Pahang Seru Anak Negeri Pulang Menyumbang Kepakaran
Kerajaan Negeri Pahang terus membuka ruang kepada anak-anak negeri yang berada di perantauan untuk kembali pulang dan menyumbang kepakaran, susulan pencapaian memberangsangkan dalam sektor pelaburan negeri yang kini mencatatkan nilai tertinggi di Pantai Timur.
Menurut Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, pelaburan di negeri itu telah mencecah RM4 bilion setakat Jun 2025, menjadikan Pahang antara destinasi pelaburan paling kompetitif di rantau timur Semenanjung Malaysia.
“Prestasi pelaburan yang memberangsangkan ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu, dan kami mengalu-alukan anak-anak Pahang yang berada di luar negeri untuk pulang dan menyumbang semula kepada tanah kelahiran mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Bubur Asyura Peringkat Negeri Pahang di Surau Paya Laman, Lanchang, pada Isnin.
YAB Menteri Besar turut berkongsi pengalamannya ketika bertemu komuniti anak Pahang yang menetap di Muar, Johor, baru-baru ini. Beliau menyatakan bahawa ramai antara mereka menunjukkan minat untuk kembali ke Pahang sekiranya terdapat tawaran pekerjaan yang setimpal dengan pengalaman dan kepakaran yang mereka miliki.
“Walaupun mereka berada di negeri orang, semangat untuk menyumbang kepada Pahang masih tinggi. Jika ada peluang yang sesuai, mereka sedia kembali,” jelas beliau.
Kerajaan Negeri Pahang komited dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan seiring pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri yang semakin kukuh. Usaha ini dilihat sebagai langkah penting dalam mengekang penghijrahan tenaga kerja muda ke luar negeri dan mengukuhkan ekonomi tempatan.
Dalam majlis tersebut, Wan Rosdy turut menyerahkan bantuan Inisiatif Makmur Pahang berupa tunai sebanyak RM750 kepada 46 jemaah haji yang terlibat dalam Program Baraqah Haji Pahang setelah mengalami kelewatan menerima surat tawaran.
Apa Reaksi Anda?











