Bangun Mencelah Pun Salah?

Oleh : BARD
Mei 14, 2026 - 09:40 MYT
Bangun Mencelah Pun Salah?

Wartawan Harakahdaily Suffi Kamari cuba membangkitkan persepsi kononnya “hebat” apabila ucapan ADUN Beserah YB Dato’ Andansura Rabu sampai Menteri Besar YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy dan tiga Exco bangun mencelah ketika isu Cherating dibahaskan dalam sidang DUN.

Hakikatnya, itu bukan kelemahan kerajaan. Itu bukti kerajaan negeri peka, responsif dan benar-benar mengikuti setiap isu yang dibangkitkan. Kalau YAB Menteri Besar Pahang dan Exco hanya diam membisu tanpa menjawab, nanti dituduh pula kerajaan tidak peduli.

Mencelah dalam Dewan bukan satu kesalahan. Itu budaya perbahasan dalam demokrasi. Dewan yang hidup ialah dewan yang ada respon, ada fakta balas dan ada perdebatan. Kalau semua YB diam tanpa pencelahan, mungkin ramai sebenarnya sedang “tidur” dalam dewan.

Isu Cherating pula jelas menunjukkan mentaliti pembangkang yang sempit terhadap pembangunan pelancongan. Bila pelancongan perlahan, kerajaan dipersalahkan. Tetapi bila ada usaha buat acara dan aktiviti untuk tarik pelancong, mereka juga yang paling kuat membantah.

Negara Islam lain seperti United Arab Emirates dan Qatar membangunkan sektor pelancongan dengan pelbagai acara antarabangsa, festival dan program ekonomi kreatif. Bandar seperti Dubai berkembang pesat kerana mereka faham pelancongan perlu aktiviti dan tarikan.

Tetapi di Cherating, bila mahu buat program atau acara, terus dimainkan sentimen politik dan agama secara berlebihan. Akhirnya kawasan pelancongan jadi lesu kerana terlalu banyak halangan daripada pemikiran yang menolak semua perkara.

Malah dalam isu sensitiviti, kerajaan negeri sudah membuktikan tindakan tegas tetap diambil apabila perlu. Permit pesta air di Kuantan dibatalkan selepas mengambil kira pandangan rakyat. Ini menunjukkan kerajaan bukan keras kepala, tetapi tahu mengimbangi pembangunan, pelancongan dan sensitiviti masyarakat.

Jadi janganlah cuba menggambarkan pencelahan dalam dewan sebagai sesuatu yang luar biasa. Yang rakyat mahu lihat ialah kerajaan bekerja, menjawab isu dan mempertahankan dasar negeri bukan sekadar pembangkang yang hanya tahu bermain persepsi politik.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow