‘Mereka Ingat Pelajar-pelajar Tahfiz Cikai Ke?’
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kesal dengan tindakan segelintir pihak yang cuba memperlekeh inisiatif institausi itu dalam mengangkat potensi pelajar tahfiz.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO, berkata ini kerana mereka seakan tidak memahami usaha memartabatkan pelajar tahfiz sehingga menjadi golongan profesional, termasuk juruterbang.
“Sakit hati melihat komen-komen negatif di ruangan Facebook berita MalayMail cuba memperlekeh dan mempertikai usaha MARA mengangkat martabat pelajar-pelajar tahfiz sebagai golongan profesional termasuk juruterbang.
“Apa mereka ingat pelajar-pelajar tahfiz ini cikai-cikai ke?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa prestasi pelajar MRSM Ulul Albab menunjukkan pencapaian memberangsangkan berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Menurutnya, lapan MRSM Ulul Albab yang melaksanakan program hafazan 30 juzuk Al-Quran berada dalam kelompok 20 sekolah terbaik di Malaysia.
“Keputusan SPM 2025 lepas pun menunjukkan lapan MRSM Ulul-Albab yang semua pelajar hafaz 30 Juzuk Al-Quran berada pada kedudukan 20 sekolah terbaik Malaysia, manakala 221 pelajar Huffaz MRSM mendapat semua A dalam matapelajaran termasuk Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.
“Cakaplah apa sahaja, selagi saya sebagai Pengerusi MARA, usaha memartabatkan agenda memprofesionalkan golongan huffaz akan terus diperkasakan,” ujar beliau.
Terdahulu, Dr Asyraf mengumumkan MARA akan membuka tawaran pembiayaan kepada pelajar baharu yang berminat mengikuti Program Kadet Juruterbang.
Katanya, keutamaan akan diberikan kepada pelajar tahfiz yang mempunyai minat serta kelayakan dalam bidang penerbangan.
Apa Reaksi Anda?











