Belanjawan Pahang 2026: Kutipan Hasil RM1.279 Bilion, Lonjakan Ekonomi Terus Dipacu
Kerajaan Negeri Pahang hari ini membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan “Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan” dengan anggaran lebihan RM5 juta, menandakan pengurusan fiskal negeri kekal stabil dan berdaya tahan.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil RM1.279 bilion pada tahun hadapan iaitu peningkatan sekitar 7% berbanding Belanjawan 2025.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.274 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus, meliputi emolumen, perkhidmatan, bekalan, pemberian tetap dan perbelanjaan aset. Angka ini meningkat RM91.83 juta (7.76%) berbanding tahun sebelumnya.
Bagi memperkukuh pembangunan negeri, kerajaan turut menyediakan RM446.26 juta bagi perbelanjaan pembangunan iaitu kenaikan 11.67% berbanding tahun 2025, bagi memastikan projek-projek rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kelulusan 15 projek dan inisiatif untuk Pahang melalui Belanjawan Persekutuan 2026.
Prestasi kewangan negeri terus cemerlang apabila kutipan hasil Pahang melepasi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut sejak 2022 daripada hasil tadbir urus efektif, peningkatan kutipan dan usaha membendung ketirisan.
Ini seiring pencapaian Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang yang melonjak 23% antara 2019–2024, dipacu dasar pembangunan strategik dan mampan. Tahun lalu, negeri mencatat pertumbuhan 5.7%, mengatasi paras nasional (5.1%) dengan nilai keseluruhan RM68.7 bilion.
Sektor penyumbang utama termasuk perkhidmatan, pembuatan, perlombongan, pengkuarian dan pertanian.
Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) turut memainkan peranan penting dengan sumbangan RM3.16 bilion (4.6%) kepada KDNK negeri pada tahun lalu.
Pahang juga kekal destinasi pelaburan pilihan, apabila setakat November 2025, jumlah pelaburan komited RM18.04 bilion berjaya diraih iaitu melepasi sasaran negeri RM14.09 bilion. Ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan iklim ekonomi Pahang.
Dari aspek pasaran kerja, jumlah guna tenaga Pahang meningkat kepada 788,800 orang pada suku ketiga 2025, berbanding 768,600 orang pada tahun 2024.
Kadar pengangguran pula menurun daripada 2.2% (16,700 orang) pada 2024 kepada 1.7% (13,800 orang) pada suku ketiga 2025 hasil limpahan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi berterusan.
Apa Reaksi Anda?











