Belanjawan Pahang 2026: Penjawat Awam Terima Dua Bulan BKK dengan Peruntukan RM48 Juta

Oleh : BARD
Disember 5, 2025 - 14:46 MYT
Belanjawan Pahang 2026: Penjawat Awam Terima Dua Bulan BKK dengan Peruntukan RM48 Juta

Penjawat awam di Pahang terus mendapat perhatian apabila Kerajaan Negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji, melibatkan peruntukan besar berjumlah RM48 juta. Pembayaran ini akan dibuat dalam dua fasa sepanjang tahun 2026.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang.

Menurut beliau, pemberian BKK ini adalah penghargaan terhadap peranan besar penjawat awam yang menjadi penggerak utama kejayaan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kejayaan negeri hari ini tidak akan tercapai tanpa peranan penting penjawat awam. Komitmen dan kesetiaan mereka adalah nadi perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” ujar beliau.

Sebagai tanda terima kasih atas komitmen, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM3.75 juta bagi Insentif Khas Pahang 1st sebanyak RM200 kepada 18,743 kakitangan awam Persekutuan yang berpendapatan bawah RM3,000. Insentif ini akan dibayar pada 31 Disember 2025 sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan.

YAB Menteri Besar turut menyeru agar penjawat awam terus bersama kerajaan negeri memperkasa iltizam dan integriti, mengekalkan semangat berpasukan dan memastikan agenda pembangunan negeri dapat direalisasikan untuk kemakmuran rakyat.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam agar terus menjadi benteng fakta dan kredibiliti kerajaan apabila berdepan suara-suara yang cuba memesongkan persepsi rakyat.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow