Konflik Asia Barat: Kabinet bincang bawa pulang pelajar terkandas
Kerajaan membincangkan usaha membawa pulang rakyat Malaysia terutama pelajar yang terkandas susulan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu sebagai langkah memastikan keselamatan rakyat yang berada di kawasan terjejas.
Menurutnya, kerajaan melalui kedutaan Malaysia di Iran serta negara-negara jiran yang terkesan telah bersiap siaga dengan pelan kecemasan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Alhamdulillah, kedutaan kita sentiasa mempunyai jalan dan ikhtiar untuk memastikan keselamatan warga Malaysia di mana-mana kawasan yang sedang berlaku konflik sentiasa terjamin.
“Ketika ini kerajaan sedang menggerakkan segala usaha yang perlu bagi memastikan keselamatan mereka.
“Dalam mesyuarat Kabinet sebentar tadi, kita turut dimaklumkan dan membincangkan soal membawa pulang warga Malaysia yang terkandas,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Apple Education Classroom di Politeknik Ungku Omar (PUO) sempena Majlis Iftar Perdana bersama warga politeknik itu pada Rabu.
Sehubungan itu, Adam Adli menasihatkan pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terlibat supaya segera melaporkan diri kepada kedutaan serta mematuhi setiap arahan keselamatan yang dikeluarkan.
Katanya, ibu bapa juga diminta bertenang dan mendapatkan maklumat sahih melalui Wisma Putra selain sentiasa berhubung dengan anak masing-masing.
“Jangan khuatir. Ibu bapa boleh memberi keyakinan kepada setiap usaha yang telah digerakkan terutama oleh kedutaan kita di luar negara,” katanya.
Jelasnya, meskipun terdapat kekangan susulan penutupan atau gangguan ruang udara, Malaysia mempunyai pengalaman menguruskan situasi getir di beberapa negara sebelum ini dan berjaya membawa pulang rakyat dengan selamat.
Ujarnya, kejayaan tersebut banyak dibantu oleh hubungan diplomatik baik Malaysia dengan negara-negara luar yang sentiasa memberi kerjasama dalam situasi kecemasan.
“Kita pernah melalui saat-saat genting seperti ini dan Alhamdulillah berjaya membawa pulang rakyat dengan selamat.
“Tambahan pula, kita mempunyai hubungan baik dengan negara-negara yang sedia membantu. Itu jaminan yang boleh diberikan kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang khuatir terhadap keselamatan, terutama pelajar kita di luar negara,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











