“Andansura: Cakap Banyak, Fakta Tak Ada”

Oleh : BARD
Oktober 29, 2025 - 14:54 MYT
“Andansura: Cakap Banyak, Fakta Tak Ada”

Dalam satu ceramah di Perkarangan PASTI Al-Hidayah, Pelindung, Beserah baru-baru ini, ADUN Beserah merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu sekali lagi menunjukkan gaya politik lama  banyak cakap, kurang fakta. Dalam ucapannya, beliau mendakwa kononnya Pahang masih mengekalkan “kaedah lama” dan belum berjaya menyelesaikan isu pemilikan tanah serta masalah banjir sejak 60 tahun lalu.

Namun, seperti biasa, kenyataan Andansura ini penuh dengan retorik politik longgar dan tidak berpijak di bumi nyata. Realitinya, di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Pahang kini berada di landasan terbaik dalam aspek pentadbiran tanah dan pembangunan infrastruktur rakyat.

Sehingga kini, lebih 742,000 hak milik tanah telah berjaya diserahkan kepada rakyat meliputi tanah kediaman, pertanian dan rancangan pembangunan FELDA. Ini bukan angka kecil, tetapi bukti kepada pentadbiran cekap, sistematik dan berpaksikan keadilan rakyat.

Berhubung dakwaan Andansura bahawa hak milik tanah peneroka FELDA masih tidak selesai, hakikatnya 96% daripada 43,126 peneroka FELDA di Pahang sudah pun menerima suratan hak milik tanah. Baki 1,840 peneroka yang masih dalam proses penyelesaian pula melibatkan isu teknikal dan sempadan, bukan kelemahan kerajaan negeri. Ini bukti Pahang selesaikan masalah dengan tindakan, bukan dengan slogan.

Andansura juga menuduh kononnya isu banjir di Pahang tidak pernah selesai. Sekali lagi, beliau gagal meneliti fakta sebenar. Di bawah kepimpinan MB Wan Rosdy, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM1.8 bilion untuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negeri.

Antara projek utama ialah RTB Sungai Kuantan dan Sungai Belat bernilai RM501 juta, yang kini hampir siap sepenuhnya dan dijangka melindungi lebih 35,000 penduduk sekitar Kuantan. Di Bentong, projek tebatan sementara bernilai RM200,000 di Kampung Karak Setia telah dilaksanakan sementara projek kekal sedang dirancang agar tragedi banjir besar 2021 tidak berulang.

Di Pekan, projek RTB Mukim Temai bernilai RM65 juta bakal mengurangkan kawasan terjejas banjir daripada 600 hektar kepada hanya 60 hektar apabila siap kelak. Manakala di Temerloh, Maran dan Lipis, pelbagai projek lain sedang giat dijalankan termasuk naik taraf sistem saliran Sungai Pahang, pembinaan kolam takungan air bah dan kajian mitigasi banjir di Kuala Lipis.

Jadi kalau Andansura ingin bercakap tentang banjir, cerminlah dahulu negeri Kelantan yang sudah diperintah PAS lebih 30 tahun. Adakah banjir di sana sudah selesai? Adakah rakyat Kelantan tidak lagi menjadi mangsa setiap kali musim tengkujuh tiba? Janji mereka bertimbun, tapi air tetap naik setiap tahun.

Cakap memang senang, tapi di Pahang kerajaan tak menjual janji. Kerajaan bekerja, hasilnya nyata. Kalau PAS rasa mereka hebat, tunjukkanlah satu sahaja projek besar di negeri SG4 yang boleh dibanggakan. Apa idea baharu? Apa sumber baru? Apa visi dan misi jelas mereka untuk rakyat? Jawapannya kosong.

Sampai hari ini, tiada apa yang boleh dibuktikan selain retorik dan slogan basi. Jadi kepada Andansura, sebelum sibuk menuding jari kepada orang lain, lihatlah dahulu di cermin  siapa sebenarnya yang gagal bekerja, tapi kuat bersembang.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow