Calon PM XI: Bersatu Perlu ‘Sucikan Diri” Dahulu, Tempelak Annuar Musa
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS, Tan Sri Annuar Musa memberi tamparan terbuka kepada Bersatu apabila menegur parti itu yang dilihat terlalu ghairah mencalonkan calon Perdana Menteri (PM) tanpa memperbaiki imej dan dasar terlebih dahulu. Menurut beliau, “adalah penting bagi parti menyucikan diri terlebih dahulu dengan memperbaiki imej dan dasar serta memulihkan kepercayaan rakyat.”
Kenyataan itu jelas satu sindiran keras, menampakkan bagaimana Bersatu lebih mementingkan kuasa berbanding menjaga hubungan dengan rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Mengapa Annuar menekankan aspek “sucikan diri”? Jawapannya tidak lain kerana kepimpinan Bersatu hari ini tidak lagi dilihat bersih. Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd.
Bukan itu sahaja, anak kepada Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin turut dikaitkan dengan sembilan pertuduhan berhubung pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan barang kawalan minyak masak melebihi had. Malah, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan pula sedang dibicarakan atas tuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM46,487.85 ke akaun syarikat Good Square Sdn Bhd.
Semua ini menambahkan persepsi bahawa Bersatu masih dibelenggu isu integriti yang serius, jauh daripada layak melaungkan nama calon Perdana Menteri.
Lebih parah, keputusan Bersatu menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 turut mengundang rasa tidak senang dalam kalangan rakan sekutu mereka sendiri. Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan bahawa apa yang lebih utama adalah membincangkan soal beban kos hidup rakyat serta cabaran geopolitik antarabangsa, bukannya melulu berebut jawatan tertinggi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md. Noor juga tidak ketinggalan membidas Bersatu agar tidak terlalu ghairah mencalonkan Muhyiddin atas nama PN, kerana keputusan besar seperti itu mesti mendapat persetujuan bersama dalam kalangan parti komponen.
Hakikatnya, kenyataan Annuar Musa, Tuan Ibrahim dan Sanusi memberi isyarat jelas bahawa Bersatu semakin kehilangan arah. Bukannya menjadi peneraju, Bersatu kini dilihat sebagai liabiliti yang hanya sibuk mengejar kuasa tanpa menghiraukan kebersihan imej, keikhlasan perjuangan, atau kesepakatan dalam PN.
Jika inilah wajah sebenar Bersatu, maka calon Perdana Menteri yang mereka laungkan hanyalah mimpi kosong. Sebelum bercakap soal jawatan tertinggi negara, eloklah Bersatu cermin diri sendiri dahulu kerana parti yang masih bergelumang dengan dakwaan rasuah dan perbalahan dalaman tidak akan mampu menjadi penyelamat rakyat, sebaliknya hanya akan menambah bala kepada negara.
Apa Reaksi Anda?











