Hasil Pahang Tembusi RM1 Bilion, Lima Tahun Berturut-turut
Kerajaan Negeri Pahang sekali lagi mencatat pencapaian kewangan yang memberangsangkan apabila kutipan hasil negeri bagi tahun 2026 sehingga kini berjaya melepasi RM1 bilion, sekali gus mengekalkan prestasi berkenaan untuk lima tahun berturut-turut.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian tersebut mencerminkan pengukuhan pengurusan kewangan negeri, khususnya apabila dibandingkan dengan prestasi tahun-tahun sebelumnya.
Menurut beliau, sebelum ini kutipan hasil negeri pada sekitar September lazimnya berada dalam lingkungan RM800 juta hingga RM900 juta, namun jumlah itu kini berjaya ditembusi dengan lebih awal.
“Alhamdulillah, saya ingin mengumumkan bahawa kutipan hasil negeri Pahang bagi tahun 2026 sehingga hari ini telah melepasi RM1 bilion, dan pencapaian ini direkodkan untuk lima tahun berturut-turut tanpa membebankan rakyat.
“Bagi saya, angka ini menunjukkan bahawa pengurusan kewangan dan pentadbiran negeri kita semakin kukuh,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Dataran Temerloh, malam tadi.
Wan Rosdy berkata, pencapaian itu tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya merupakan hasil daripada langkah berterusan kerajaan negeri dalam memperkemas mekanisme kutipan hasil, meningkatkan kecekapan pentadbiran, mengurangkan ketirisan dan memperkukuh tahap pematuhan.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada usaha mengoptimumkan sumber yang dimiliki bagi memastikan potensi hasil dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan.
Beliau turut menyifatkan sumbangan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) sebagai antara faktor yang membantu mengukuhkan kedudukan kewangan Pahang menerusi pulangan yang baik kepada kerajaan negeri.
Dalam aspek ekonomi pula, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan baharu, memperluas aktiviti ekonomi serta menyediakan lebih banyak peluang kepada sektor swasta dan golongan usahawan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Apabila ekonomi berkembang, aktiviti perniagaan meningkat, peluang pekerjaan bertambah dan pendapatan rakyat dapat dipertingkatkan. Pada masa yang sama, asas hasil kerajaan negeri juga menjadi semakin kukuh,” katanya.
Pencapaian kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk tahun kelima berturut-turut itu memperlihatkan usaha memperkukuh kedudukan kewangan negeri berjalan seiring dengan agenda merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Pahang.
Apa Reaksi Anda?











