Kepentingan Rakyat Jadi Fokus Kerajaan, Depani Ketidaktentuan Global

Oleh : BARD
April 3, 2026 - 11:00 MYT
Kepentingan Rakyat Jadi Fokus Kerajaan, Depani Ketidaktentuan Global

Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan ekonomi semasa bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global ketika ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO, berkata dunia hari ini sedang berdepan situasi tidak menentu, khususnya susulan konflik di Asia Barat yang mula memberi kesan kepada rantaian bekalan tenaga global, sekali gus memberi tempias kepada kos sara hidup rakyat.

“Dunia hari ini sedang berdepan ketidaktentuan yang semakin dirasai. Konflik di Asia Barat mula memberi kesan kepada rantaian tenaga global dan tempiasnya turut dirasai dalam kehidupan harian rakyat.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kali ke-17 yang saya pengerusikan hari ini (Khamis), fokus kita adalah untuk memastikan rakyat tidak terbeban dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.

“Kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Menurut beliau sebagai langkah segera, NACCOL akan bersidang secara berkala sepanjang tempoh ini bagi memastikan setiap isu ditangani dengan pantas dan berkesan.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM54.7 bilion bagi tahun 2026 untuk bantuan sosial, subsidi dan insentif peningkatan pendapatan.

“Lebih 13.7 juta rakyat kini menerima manfaat melalui pelbagai inisiatif termasuk STR, SARA dan Program Jualan Rahmah.

“Inilah komitmen kerajaan dalam memastikan setiap bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Insya-Allah, kerajaan akan terus berdiri bersama rakyat serta memastikan kesejahteraan sentiasa terpelihara walau dalam apa jua keadaan,” ujar beliau. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow