Kutipan Hasil Pahang Cecah RM700 Juta Sebelum Akhir Jun

Oleh : BARD
Julai 1, 2026 - 14:00 MYT
Kutipan Hasil Pahang Cecah RM700 Juta Sebelum Akhir Jun

Prestasi kewangan Kerajaan Negeri Pahang terus menunjukkan momentum positif apabila kutipan hasil negeri melebihi RM700 juta dalam tempoh kurang enam bulan pertama tahun ini, sekali gus meletakkan negeri itu di landasan kukuh untuk mengekalkan rekod kutipan melebihi RM1 bilion bagi tahun kelima berturut-turut.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pencapaian tersebut adalah yang terbaik pernah direkodkan sebelum penghujung Jun dan mengatasi kutipan bagi tempoh sama tahun lalu yang lazimnya sekitar RM600 juta.

Menurut beliau, peningkatan itu membuktikan kedudukan kewangan negeri kekal kukuh meskipun ekonomi global terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik di Asia Barat.

"Ini kali pertama dalam sejarah sebelum akhir Jun kutipan hasil negeri telah melepasi RM700 juta. Kebiasaannya sekitar RM600 juta, namun tahun ini prestasinya jauh lebih baik," katanya selepas menghadiri Majlis Apresiasi Guru Pahang 1st 2026 dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan SPM 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Beliau berkata, kejayaan itu turut didorong oleh kecekapan agensi kerajaan dalam meningkatkan kecekapan kutipan hasil serta memperkukuh usaha membendung ketirisan.

Beliau yakin prestasi semasa mampu diterjemahkan kepada pencapaian kutipan hasil melebihi RM1 bilion sekali lagi pada tahun ini, sekali gus meneruskan rekod cemerlang yang dicapai sejak 2022.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Pahang berjaya merekodkan kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut bermula 2022 hingga 2025, mencerminkan pengurusan kewangan negeri yang mampan serta pertumbuhan ekonomi yang terus memberangsangkan.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow