Remaja 17 Tahun dari MRSM Kuantan Terbang ke Rusia, Ukir Sejarah Melanjutkan Pengajian Perubatan
Seorang bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan mencuri perhatian apabila berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Kursk State Medical University, Rusia pada usia hanya 17 tahun.
Pelajar berkenaan, Iskandar Warid Mohd Nazrul Izad, ditawarkan tempat di universiti terkenal itu selepas memohon menggunakan keputusan percubaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE UK) yang diambilnya tahun lalu.
Menurut bapanya, Datuk Seri Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad, kejayaan anak keempatnya itu amat membanggakan kerana berpeluang belajar di luar negara pada usia begitu muda.
“Ketika rakan seusianya sibuk menghadapi SPM, dia sudah pun memulakan pengajian di universiti luar negara. Iskandar akan berangkat hari ini dan pulang Disember nanti untuk menduduki SPM,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa potensi Iskandar telah terserlah sejak sekolah rendah, malah sering menerima anugerah kecemerlangan sepanjang berada di MRSM.
“Siapa sangka anak Beserah ini mampu terbang jauh mengejar cita-citanya sebagai doktor, dan mungkin ahli politik suatu hari nanti,” ujar beliau.
Iskandar bakal mengikuti pengajian selama tujuh tahun sebelum layak bergelar doktor, dan seterusnya boleh memilih untuk menjalani latihan kedoktoran sama ada di luar negara atau di Malaysia.
Sementara itu, Iskandar berazam memanfaatkan peluang keemasan yang diberikan untuk mengejar impian menjadi pakar kanser.
“Saya terkesan dengan pemergian datuk akibat kanser paru-paru. Sebab itu saya mahu menjadi pakar kanser dan membantu mencari kaedah rawatan yang lebih berkesan dan mampu milik,” katanya.
Dengan semangat besar dan tekad yang tinggi, Iskandar kini melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya membawa harapan keluarga dan inspirasi buat ramai anak muda. Semoga kejayaannya membuka lebih banyak pintu peluang kepada generasi seterusnya.
Apa Reaksi Anda?











