Skandal Lebuh Raya MEX II: Abu Sahid dituduh pecah amanah RM313 juta, AMLA RM139 juta
Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd bagi cadangan projek pembinaan Lebuh Raya MEX II, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan ubah wang haram RMRM139.2 juta bermula 2016 lalu.
Semasa prosiding, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, 74, yang duduk di kerusi roda, di luar kandang tertuduh membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
Sebelum ini, SPRM menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM32 juta milik individu berkenaan termasuk beg tangan berjenama, barang kemas, kenderaan mewah, jam tangan dan wang tunai.
Dalam operasi itu juga, SPRM menemui sebuah stor di salah sebuah kediaman yang digunakan untuk menyimpan pelbagai minuman keras mewah dianggarkan bernilai RM3 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan memaklumkan, semua barang dan aset berkenaan disita bagi siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.
Apa Reaksi Anda?











