Tiada Keperluan Pilihan Raya Datuk Bandar, Fokus Selesai Isu Miskin Bandar dan Perumahan – Dr Akmal

Oleh : BARD
Februari 3, 2026 - 15:00 MYT
Tiada Keperluan Pilihan Raya Datuk Bandar, Fokus Selesai Isu Miskin Bandar dan Perumahan – Dr Akmal

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohd Akmal Saleh berkata setakat ini tiada keperluan untuk mewujudkan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Menurut beliau, keperluan yang lebih mendesak di ibu negara adalah untuk menyelesaikan masalah miskin bandar serta isu perumahan mampu milik, bukannya sekadar memperkenalkan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pilihan raya Datuk Bandar.

Tegasnya, perkara itu lebih utama dan wajar menjadi fokus Menteri Wilayah.

“Keperluan yang mendesak di bandar ini adalah untuk menyelesaikan masalah miskin bandar dan masalah perumahan mampu milik, bukan hanya mampu tengok. Ini lebih diperlukan berbanding pilihan raya PBT dan pilihan raya Datuk Bandar.

Ini yang mesti menjadi fokus menteri wilayah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa cadangan mewujudkan pilihan raya Datuk Bandar bukan isu baharu, sebaliknya dilihat sebagai kesinambungan beberapa cadangan terdahulu.

“Sebelum ini URA, selepas itu pilihan raya PBT, kali ini pilihan raya Datuk Bandar KL pula. Mereka tetap mereka. Kita jangan lalai.

“Sebagaimana kita tolak dan gagalkan perancangan URA dan pilihan raya PBT sebelum ini, begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini.

“Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa, mereka bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” katanya lagi. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow