Hentikan Cadangan Mengundang Salah Tafsir, Utamakan Masalah Rakyat
Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) supaya menghentikan sebarang cadangan yang berpotensi menimbulkan salah tafsir, mencetuskan sentimen negatif serta membuka ruang kepada perpecahan masyarakat.
Menurut beliau yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Lembah Pantai, tumpuan seharusnya diberikan kepada isu-isu lebih mendesak.
“Fokuslah usaha kepada isu-isu yang jauh lebih mendesak dan memberi kesan langsung kepada kehidupan warga Wilayah Persekutuan termasuk peningkatan kos sara hidup, masalah miskin bandar, penyelenggaraan infrastruktur yang semakin uzur, isu kekurangan tempat letak kereta, banjir kilat dan pelbagai masalah asas lain yang memerlukan penyelesaian segera dan berkesan,” katanya.
Ujar Dr Masliha, cadangan kajian seperti yang dibangkitkan sebelum ini dilihat lebih bersifat provokatif dan seakan-akan menjadi pencetus untuk dijadikan senjata politik murahan.
“Semua pihak perlu sedar kesan buruk apabila isu sensitif dibangkitkan tanpa penelitian mendalam serta tanpa mengambil kira implikasi terhadap keharmonian rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan wajar mengutamakan penyelesaian masalah asas rakyat dan memastikan setiap dasar yang dirangka benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya penduduk Wilayah Persekutuan.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Apa Reaksi Anda?











