Transformasi Air Pahang: Pekan Menyusul Selepas Raub, Bentong & Cameron Highlands
Daerah Pekan kini berada di landasan tepat untuk menjadi daerah keempat di Pahang yang berjaya menyelesaikan sehingga 90% isu bekalan air, susulan siapnya Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Miang di Tangki Sungai Miang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berkata loji baharu itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 2,100 akaun pengguna di kawasan sekitar merupakan satu perkembangan penting dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan keupayaan bekalan air bersih secara menyeluruh.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan lebih 90% permasalahan air di Raub, Bentong dan Cameron Highlands. Pekan pula kini berada di fasa akhir ke arah mencapai tahap penyelesaian yang sama.
“Alhamdulillah, saya menjangkakan Pekan akan menjadi daerah keempat yang kita selesaikan masalah air sehingga 90%. Raub, Bentong dan Cameron Highlands telah pun selesai dan selepas ini daerah-daerah lain menyusul,” katanya ketika lawatan ke Tapak Projek Bekalan Air Nenasi sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Bebar 2026.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Kerajaan Negeri optimis bahawa 90% isu bekalan air di seluruh Pahang dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini berdasarkan kemajuan pelbagai projek naik taraf yang sedang berjalan.
YAB Menteri Besar turut menzahirkan penghargaan kepada PAIP serta seluruh petugas teknikal yang bekerja tanpa mengira masa.
“Saya minta viralkan juga kerja-kerja mereka pukul 1 pagi, 2 pagi, 3 pagi. Ramai tidak tahu mereka bekerja waktu itu.”
Pahang memiliki rangkaian paip air sepanjang 13,000 kilometer dan lebih 25% telah diganti dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Usaha ini merupakan sebahagian daripada pelan penambahbaikan jangka panjang bagi meningkatkan keandalan sistem bekalan air di seluruh negeri.
Walaupun isu air sentiasa dinamik akibat pertambahan penduduk dan pembangunan, kerajaan negeri yakin sasaran 90% penyelesaian adalah realistik, signifikan dan memberi kesan terus kepada kesejahteraan rakyat.
Menurut Menteri Besar, aduan mengenai gangguan air kini semakin berkurangan.
“Bila kita turun padang, penduduk jarang membangkitkan isu air seperti dulu. Baru-baru ini saya balik ke kawasan sendiri, orang ucap terima kasih kerana masalah air sudah tiada,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan komitmen serta kecekapan agensi seperti PAIP dalam memastikan rakyat menerima bekalan air yang stabil dan berkualiti.
Apa Reaksi Anda?











