Jerantut Square: Bukti Keprihatinan Kerajaan Negeri, Nafas Baharu untuk Pahang Barat
Di sebalik deretan bukit hijau dan sungai yang mengalir tenang di Pahang Barat sebuah harapan baru mula bersinar. Kerajaan Negeri Pahang, di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, terus membuktikan bahawa tiada daerah yang akan dipinggirkan daripada arus pembangunan.
Pelancaran projek Jerantut Square baru-baru ini menjadi simbol keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kemajuan bukan sahaja tertumpu di bandar-bandar besar, tetapi turut menyusup jauh ke nadi masyarakat luar bandar.
“Kita mahu rakyat Jerantut dan kawasan sekitarnya menikmati kemudahan, peluang dan kemajuan seperti mana di tempat lain. Jika projek itu baik untuk rakyat, kita akan bantu percepatkan tapi tetap ikut peraturan,” tegas Wan Rosdy dengan penuh komitmen.
Kerajaan negeri membuka pintu kepada mana-mana pihak yang ingin melabur dan membangunkan kawasan ini. Malah, proses akan diberi laluan pantas (fast track) jika projek tersebut terbukti berdaya maju dan menguntungkan rakyat.
Projek Jerantut Square bukan calang-calang membabitkan pelaburan besar bernilai RM130 juta, ia adalah hasil kerjasama antara PKNP dan Kumpulan Jaya Depan Sdn Bhd.
Lebih membanggakan, projek ini dijangka mencipta lebih 1,000 pekerjaan langsung dan 5,000 pekerjaan tidak langsung, sekaligus membuka peluang luas kepada anak muda dan komuniti setempat dalam sektor pelancongan, perkhidmatan dan peruncitan.
“Bukan hanya bangunan yang kita bina, tetapi masa depan keluarga-keluarga di sini. Ini soal menyediakan rezeki dan harapan kepada generasi muda Jerantut,” ujar beliau penuh semangat.
Apabila siap sepenuhnya, Jerantut Square dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan mengubah wajah daerah ini menjadi tumpuan baru pelabur dan pelancong.
Dalam majlis sama, ulang tahun ke-60 Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) turut diraikan. Bagi Menteri Besar, PKNP bukan sekadar sebuah agensi ia adalah tulang belakang pembangunan Pahang sejak lebih setengah abad lalu.
“PKNP telah memainkan peranan besar dalam mengubah landskap negeri ini. Ia bukan sahaja memiliki aset strategik negeri, malah menjadi pemudah cara kepada pelaburan tempatan dan asing, selain membantu para usahawan kita untuk terus berdiri teguh,” katanya.
Tahun lalu sahaja, PKNP berjaya menarik pelaburan mencecah RM3.69 bilion, satu pencapaian yang membanggakan dan bukti kemampuan agensi negeri dalam memacu ekonomi ke hadapan.
Sempena sambutan 60 tahun ini juga, PKNP melaksanakan 22 program komuniti merangkumi sukan, kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh daerah, menzahirkan semangat prihatin dan cakna kepada rakyat dari semua lapisan.
Apa yang dibawa oleh kerajaan negeri hari ini bukan sekadar projek atau angka, tetapi keyakinan bahawa semua rakyat tidak kira di bandar atau di Jerantut semua berhak mendapat peluang dan masa depan yang cerah.
Dengan kepimpinan yang komited, dasar yang bijaksana dan agensi yang berdedikasi seperti PKNP, Pahang terus melangkah ke hadapan bersama rakyatnya.
Apa Reaksi Anda?











