Pahang salur RM26 juta bantu mahasiswa sejak 2022

Oleh : BARD
Jun 24, 2025 - 09:00 MYT
Pahang salur RM26 juta bantu mahasiswa sejak 2022

Kerajaan negeri Pahang telah menyalurkan bantuan berjumlah RM26 juta kepada anak-anak Pahang yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak tahun 2022.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu termasuk peruntukan sebanyak RM8 juta yang telah disalurkan kepada lebih 20,000 mahasiswa di seluruh negara tahun ini menerusi Program Inisiatif Makmur (IM) Pahang, Kluster Siswa 2025.

Menurut beliau, bantuan itu merupakan inisiatif berterusan kerajaan negeri bagi membantu anak-anak Pahang yang sedang menuntut di IPTA seluruh negara.

“Berikutan itu, kerajaan negeri memperkenalkan satu bentuk bantuan khas pada tahun 2022 yang dikenali sebagai Bantuan Prihatin Pahang dan kini ditambah baik melalui IM Pahang.

“Kerajaan negeri akan terus melaksanakan bantuan ini kerana kita faham bahawa sebagai mahasiswa, mereka memerlukan sokongan kewangan untuk membeli peralatan dan buku sepanjang pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program IM Pahang Kluster Mahasiswa di Auditorium Pusat Permata Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Isnin.

Turut hadir Naib Canselor UKM, Profesor Dr Sufian Jusoh dan beberapa Exco Kerajaan Negeri Pahang termasuk YB Dato' Sri Mohd Soffi Abd Razak, YB Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal.

YAB Menteri Besar turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri bercadang menambah jumlah bantuan tunai kepada lebih RM400 setahun menerusi IM Pahang Kluster Siswa pada masa hadapan, tertakluk kepada kedudukan kewangan negeri.

Beliau berkata, seramai 28 pelajar Permata Pintar turut dimasukkan sebagai penerima bantuan bagi memastikan tiada anak Pahang yang tercicir daripada menerima manfaat program IM Pahang.

Selain itu, beliau menyatakan kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai sokongan pendidikan melalui Yayasan Pahang, dengan jumlah peruntukan mencecah lebih RM1.6 bilion sehingga kini.

“Ini termasuk Geran Bantuan Pelajaran (One-Off) sebanyak RM700 untuk peringkat Pra Siswazah (sijil, diploma dan ijazah sarjana muda) dan RM1,200 bagi Pasca Siswazah (sarjana dan PhD),” katanya.

Menurut beliau, Yayasan Pahang turut menyediakan pinjaman pendidikan serta kemudahan biasiswa melalui Skim Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) dan Skim Pelajar Cemerlang (SPC).

Tambah beliau, Yayasan Pahang juga menghantar pelajar anak Pahang untuk melanjutkan pengajian ke Timur Tengah seperti Jordan dan Maghribi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan perumahan kepada rakyat yang layak melalui Program PR1MA, Rumah Makmur dan Rumah Rakyat Pahang bagi membantu anak Pahang memiliki rumah mengikut kemampuan masing-masing.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan bantuan khas kepada pasangan yang ingin berkahwin dan melahirkan anak.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow