Kanak-kanak hilang di Johor Bahru ditemui mati, mayat tertanam di belukar

Oleh : BARD
Julai 29, 2025 - 09:04 MYT
Kanak-kanak hilang di Johor Bahru ditemui mati, mayat tertanam di belukar

Mayat yang dipercayai milik seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Johor Bahru pada minggu lalu ditemui tertanam di kawasan belukar di Rompin di sini pada Isnin.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, maklumat mengenai penemuan mayat itu diterima sekitar jam 4.30 petang oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

“Siasatan awal mendapati kejadian bermula di Johor Bahru melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Taman Bukit Indah pada 24 Julai lalu.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang lelaki berumur 36 tahun oleh Polis Kontinjen Johor.

“Tindakan lanjut hasil tangkapan tersebut telah membawa kepada penemuan mayat mangsa yang disyaki telah dibunuh sebelum ditanam di kawasan Rompin, Jempol.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat.

Polis sebelum ini memohon bantuan orang awam untuk mengesan kanak-kanak terbabit, dikenali sebagai M Tishant yang dilaporkan hilang ketika berada di sebuah kopitiam di Taman Bukit Indah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan sebelum ini memaklumkan laporan kehilangan dibuat oleh bapanya yang berusia 36 tahun kira-kira jam 2.15 pagi pada 26 Julai.

Menurut keterangan awal, kanak-kanak itu memiliki ketinggian kira-kira 110 sentimeter, seberat 19 kilogram, berkulit hitam manis dan berhidung mancung.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow