Polis Kelantan siasat madrasah dikesan terlibat pengubahan wang haram

Oleh : BARD
Oktober 21, 2025 - 14:00 MYT
Polis Kelantan siasat madrasah dikesan terlibat pengubahan wang haram

Polis Kelantan mengesan terdapat beberapa madrasah di negeri ini yang dipercayai menjadi lokasi kegiatan pengubahan wang haram melibatkan sumbangan jutaan ringgit daripada pihak luar termasuk pengasas produk.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ia berpandukan pada maklumat diterima dan pemantauan yang sedang dijalankan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Menurut beliau, hasil semakan mendapati sebahagian besar madrasah, pondok dan pusat tahfiz di negeri ini tidak berdaftar dengan MAIK, sekali gus menimbulkan kebimbangan wujudnya aktiviti tidak sihat di sebalik operasi mereka.

“Berdasarkan maklumat, lebih kurang separuh daripada madrasah dan pondok di Kelantan tidak berdaftar dengan MAIK.

“Apabila tidak berdaftar, kita bimbang tempat ini disalah guna untuk kegiatan seperti pengubahan wang haram dan sebagainya,” katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.

Sebelum itu beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Mohd Yusoff memberitahu, pihaknya menerima maklumat ada individu bergelar ‘founder’ termasuk dalam dan luar Kelantan datang ke negeri ini kononnya untuk menderma kepada institusi agama dengan harapan mendapatkan doa dan keberkatan.

Ujarnya, ada yang sanggup memberi sumbangan hingga jutaan ringgit dengan alasan melabur untuk saham akhirat.

“Namun kita bimbang jika niat baik itu dieksploitasi oleh pihak tertentu yang menjadikan madrasah sebagai saluran untuk aktiviti pengubahan wang haram.

“Bagaimanapun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana penglibatan pusat pengajian agama tersebut dalam aktiviti terbabit,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu status pendaftaran sesebuah madrasah, pondok atau tahfiz sebelum menyalurkan sumbangan.

“Pastikan juga guru yang mengajar di situ memiliki tauliah bagi mengelakkan penyalahgunaan gelaran ustaz atau wali yang boleh menyelewengkan ajaran agama,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya akan terus bekerjasama dengan MAIK dalam memantau bukan sahaja isu pengubahan wang haram, tetapi juga kemungkinan berlakunya ajaran sesat dalam kalangan pusat pengajian agama tidak berdaftar di negeri ini.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow