Pembangkang Gempita di Pentas, Kosong di Dasar
Politik pembangkang Malaysia hari ini ibarat kapal yang berlayar tanpa kompas hanya bising di permukaan, tapi hilang arah sebenar. Di depan kamera, mereka berlagak seolah-olah juara rakyat. Tapi di belakang tabir, yang berlaku hanyalah perebutan kuasa, dendam lama, dan drama dalaman yang tak berkesudahan.
Parti Bersatu kini nampak lebih layak digelar “Berpecah”. Sejak kehilangan kuasa, parti ini semakin layu dengan pucuk pimpinan tak bermaya, hala tuju tak jelas, dan pengaruhnya makin menghilang di akar umbi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dulu lantang kini makin senyap. Beberapa tokoh kanan pula sibuk mencari peluang untuk menyelamatkan diri politik masing-masing.
Lebih memalukan, Bersatu kini hidup bergantung pada nafas PAS yang satu-satunya parti dalam PN yang masih ada denyut nadi. Tanpa PAS, Bersatu mungkin hanya tinggal sejarah seperti parti serpihan lain yang pernah “mati berdiri” di arena politik Malaysia.
PAS pula, walaupun makin besar kepala, belum tentu semakin bijak. Mereka kini menguasai sebahagian besar kerusi PN, tapi kegilaan untuk menguasai semua termasuk menentukan siapa layak jadi Perdana Menteri membuatkan gabungan itu semakin retak.
Dalam banyak isu nasional, PAS lebih gemar memetik ayat politik syurga dan neraka berbanding bercakap soal ekonomi rakyat. Akibatnya, semakin ramai pengundi bandar dan muda menjauh. Retorik agama dan politik kebencian sudah tidak laku kerana rakyat mahu kerja, kestabilan, masa depan dan bukannya khutbah politik yang tiada penghujung.
PN kini hanya “perikatan” pada nama, bukan pada jiwa. PAS dan Bersatu saling mencurigai, masing-masing mahu menjadi tuan. Dalam diam, wujud rasa tidak puas hati kerana PAS merasakan mereka sudah cukup kuat untuk berdiri sendiri, sementara Bersatu pula masih bermimpi mahu kembali ke Putrajaya.
Tambahan pula, beberapa pimpinan PN semakin rancak berbalas sindiran di media sosial merupakan satu tanda jelas bahawa “perikatan” itu sebenarnya retak menunggu rebah.
Hari ini, pembangkang bukan saja gagal jadi semak dan imbang yang berkesan, malah lebih sibuk mencipta isu untuk kekal relevan. Mereka menjerit “kerajaan gagal”, tapi bila ditanya apa pelan mereka untuk bantu rakyat terus senyap sunyi.
Tiada gagasan ekonomi, tiada idea baharu, hanya kitar semula isu lama dan serangan peribadi. Rakyat mula sedar, politik pembangkang hari ini bukan lagi perjuangan, tapi perebutan jawatan.
Kerajaan mungkin tidak sempurna, tapi pembangkang jelas lebih teruk. Mereka lupa bahawa rakyat bukan bodoh. Zaman memainkan sentimen bangsa dan agama untuk undi sudah berlalu. Generasi muda kini menilai siapa yang bekerja, bukan siapa yang pandai menyalak di pentas ceramah.
Pembangkang Malaysia kini bagai tong kosong hanya bunyi kuat, tapi isinya kosong. Selagi mereka tidak berani berubah, tidak berani memperjuangkan dasar yang benar-benar menyentuh rakyat, mereka akan terus jadi penonton dalam politik negara.
Dan apabila PRU seterusnya tiba, rakyat mungkin sudah pun menutup pintu kerana yang datang bukan pejuang, tetapi pelakon politik yang sudah hilang skrip.
Apa Reaksi Anda?











