UMNO/BN Sabah Tiada Pakatan Dengan Parti Warisan
UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan pendirian yang jelas bahawa tiada sebarang bentuk kerjasama, sama ada rasmi atau tidak rasmi, dengan Parti Warisan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa UMNO tidak bermain di dua gelanggang, sebaliknya kekal memilih jalan politik yang jelas, berprinsip dan berteraskan perjuangan parti.
“Sebarang spekulasi yang cuba mengaitkan UMNO atau BN Sabah dengan Warisan adalah tidak benar dan berniat mengelirukan rakyat. UMNO tidak berselindung di sebalik apa-apa agenda tersembunyi,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.
Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat masih mengenang bagaimana Presiden Warisan dibesarkan dalam perjuangan UMNO, diberi kepercayaan hingga ke peringkat Naib Presiden, namun akhirnya memilih meninggalkan parti yang membina karier politiknya.
“Kini, Presiden Warisan hanyalah bayangan peribadi seorang pemimpin yang kehilangan arah dan pengaruh. Politik tanpa kesetiaan bukan perjuangan, tetapi perjalanan peribadi tanpa hala tuju,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan fokus utama UMNO/BN Sabah kini ialah membina semula keyakinan rakyat melalui kestabilan politik, memperkukuh perpaduan nasional serta meneruskan dasar pembangunan yang realistik dan inklusif demi masa depan Sabah yang lebih baik.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Apa Reaksi Anda?











