Kehancuran Pembangkang: Kuasa Yang Hilang, Maruah Yang Punah
Gelombang yang dulu digembar-gemburkan sebagai kebangkitan rakyat kini hanya tinggal riak kecil di tepi pantai. Pembangkang Malaysia yang dulunya gah menjerit tentang “perubahan” dan “penyelamat bangsa” kini hanyalah kumpulan politik yang hilang arah, hilang taring dan hilang kepercayaan rakyat.
Apa yang kita lihat hari ini bukan lagi perjuangan, tetapi perebutan yang bukan lagi idealisme, tetapi politik dendam dan kerakusan kuasa.
Parti Bersatu kini sedang berada dalam fasa paling gelap sejak ditubuhkan. Krisis dalaman semakin menggila setelah beberapa pengerusi negeri dipecat, digantung dan disiasat seperti permainan muzik kerusi.
Pengerusi Bersatu Pahang dan Perlis ditukar, mencetuskan rasa tidak puas hati akar umbi.
Saifuddin Abdullah, bekas Menteri Luar dan tokoh lama parti akan dipanggil ke Lembaga Disiplin merupakan tanda jelas bahawa retak di dalam parti semakin melebar.
Beberapa pengerusi negeri lain dikatakan berisiko disingkir hanya kerana tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan pusat.
Di luar, mereka bercakap tentang keadilan dan integriti. Di dalam, mereka sibuk berpolitik untuk kekal berkuasa. Inilah wajah sebenar Bersatu hari ini merupakan parti yang berperang dengan diri sendiri.
Dulu mereka berdiri atas pentas yang sama, melaungkan slogan perpaduan Islam dan Melayu. Hari ini, pentas itu sudah kosong dan yang tinggal hanyalah dua parti yang saling mencurigai dan menikam dari belakang.
PAS mula menunjukkan belang. Mereka mahu dominasi dan bukan lagi sebagai rakan sekutu. Pemimpin PAS kini secara terbuka mempertikaikan arah tuju Bersatu dan mahu parti itu tunduk kepada strategi mereka.
Dalam banyak keadaan, PAS lebih gemar bergerak sendiri. Mereka percaya bahawa “gelombang hijau” itu milik mereka, bukan Perikatan Nasional. Manakala Bersatu pula masih bermimpi mahu jadi parti utama walhal akar umbi sendiri sudah longgar.
Ini jelas bahawa gabungan yang suatu masa dulu lahir dari nafsu kuasa pasti tidak akan bertahan lama. Hari ini mereka sekutu. Esok mereka musuh.
Ketika rakyat berbicara soal ekonomi dan kos sara hidup, pemimpin pembangkang pula sibuk berpolitik siapa bakal jadi “Perdana Menteri bayangan.”
Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mahu kekal relevan, tetapi pengaruhnya semakin tenggelam ditelan masa dan kes mahkamah.
Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainudin pula berlumba-lumba menunjukkan diri sebagai calon “penyelamat” walhal dua-duanya masih gagal membina keyakinan akar umbi.
Dalam masa sama, PAS pula mahu calon PM daripada parti mereka sendiri.
Apa yang berlaku kini hanyalah satu pementasan besar kepada drama politik tanpa skrip, tanpa hala tuju dan tanpa kepimpinan sejati.
Rakyat sudah bijak menilai. Mereka sudah melihat bahawa pembangkang kini hanya tahu menentang, bukan membina.
Setiap hari di media sosial, suara sinis terhadap Perikatan Nasional semakin kuat, “Janji mahu jadi pembela rakyat, tapi yang dibela hanyalah kedudukan sendiri.”
Politik kebencian dan sentimen agama yang dimainkan berulang kali sudah tidak laku. Rakyat mahu idea, bukan drama. Mereka mahu dasar, bukan dendam.
Kejayaan sementara pada PRU lepas kini terbukti hanyalah ilusi politik. Kononnya gelombang hijau, kini menjadi awan kelabu yang gelap, berat dan tiada hujan.
PAS yang dulu menunggang momentum kini terperangkap dalam realiti. Mereka tidak mampu memerintah sendirian dan sekutu mereka pula semakin runtuh dari dalam.
Bersatu pula, dari parti serpihan yang mahu jadi dominan, kini hanya tinggal serpihan. Akar umbi kian resah, pimpinan saling curiga dan imej di mata rakyat semakin hancur.
Politik pembangkang Malaysia kini bukan lagi soal siapa lawan siapa tetapi soal siapa yang masih tinggal untuk menyelamatkan kapal yang sedang karam.
Perikatan Nasional kini ibarat rumah tanpa tiang. PAS mahu ke kanan, Bersatu ke kiri, sementara rakyat sudah pun berjalan ke depan.
Jika ini diteruskan, tidak mustahil pembangkang akan menjadi sekadar catatan kaki dalam sejarah politik negarayang kisah tentang mereka yang pernah berkuasa, tetapi tamak hingga musnah.
Bila kuasa jadi tujuan,
perjuangan hilang makna,
Bila parti sendiri pun tak mampu diurus,
usahlah bermimpi mahu mentadbir negara.
Hari ini, pembangkang bukan tumbang kerana ditentang tetapi mereka tumbang kerana berperang sesama sendiri.
Apa Reaksi Anda?











