“Bila PAS Jadi Abang Besar, Sekutu Hanya Beban Kudis”
Muktamar PAS semalam sekali lagi memperlihatkan wajah sebenar politik mereka yang angkuh, penuh sindiran dan suka merendahkan rakan sendiri. Ucapan Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dan tokoh kanan PAS dengan kiasan “kudis” yang ditujukan kepada parti lain dalam gabungan menjadi bukti jelas bahawa PAS kini tidak lagi melihat sekutu sebagai teman seperjuangan, tetapi sebagai beban yang menjijikkan.
Ketika Sanusi melaungkan bahawa PAS terpaksa bekerja keras, menanggung kos dan mesin pilihan raya, beliau menyindir parti sekutu yang kononnya datang “dengan tangan kosong.” Lebih parah, sindiran “kudis” dijadikan peluru politik untuk memperlekeh rakan seperjuangan.
Apakah ini gaya seorang pemimpin yang kononnya mahu menyatupadukan umat? Jika benar PAS mahu membawa politik matang, mengapa perlu melabel sekutu sebagai penyakit? Atau sebenarnya ini manifestasi bahawa PAS semakin rakus mahu menguasai semua tanpa ruang kompromi?
Realitinya, PAS sudah lama menunjukkan belang. Mereka mahu menjadi dominan, sementara parti lain sekadar mengikut telunjuk. Apa yang berlaku semalam hanyalah ulangan bahawa PAS mahu mengangkat diri sebagai penyelamat tunggal, manakala rakan sekutu dianggap kecil, tidak relevan dan merupakan parasit.
Ironinya, tanpa gabungan dan sokongan parti lain, mampukah PAS sendiri menawan hati pengundi bandar? Mampukah PAS menguasai medan media sosial dan naratif politik arus perdana? Hakikatnya, PAS masih memerlukan sekutu, tetapi retorik mereka seolah-olah menolak keperluan itu.
“Sekutu kudis, diri sendiri wangi?” itu persoalannya. Sedangkan rekod PAS sendiri tidaklah sebersih yang cuba digambarkan. Isu tadbir urus, polemik dalam kerajaan negeri dan kegagalan menyediakan solusi ekonomi mampan semua itu terus menghantui. Maka, serangan terhadap rakan sekutu hanyalah taktik menutup kelemahan sendiri.
Rakyat kini tidak lagi tertarik dengan permainan sindir-menyindir. Mereka mahukan solusi pada kos sara hidup, pekerjaan, peluang anak muda, dan harga barang. Tetapi PAS, melalui lidah Sanusi lebih ghairah mencipta drama “kudis” untuk tontonan politik.
Ucapan Sanusi di muktamar semalam bukan sekadar sindiran, ia cerminan wajah sebenar PAS sebagai parti yang makin hanyut dalam kerakusan kuasa, semakin angkuh dengan kemenangan lalu, dan semakin hilang adab dengan rakan sekutu.
Jika beginilah caranya, tidak hairanlah gabungan yang sepatutnya teguh kini retak dari dalam. Sanusi boleh terus bercakap tentang “kudis”, tetapi jangan lupa kudis yang paling sukar diubati adalah kudis angkuh dalam hati sendiri.
Apa Reaksi Anda?











