Pembangkang Malaysia Kian Terhuyung-Hayang... Gabungan Longgar Dan Kuasa Longlai
Dunia politik tanah air terus menyajikan drama, dan kali ini pembangkang menjadi pentas utamanya. Walaupun cuba menonjolkan diri sebagai “penyelamat rakyat”, realitinya blok pembangkang semakin terumbang-ambing dengan strategi yang rapuh, kepimpinan bercelaru dan agenda yang sering bertembung.
Baru-baru ini, 12 parti pembangkang bersetuju membentuk satu gabungan longgar kononnya untuk menekan kerajaan Madani. Namun, persoalan paling besar ialah apakah benar ia untuk rakyat atau sekadar “nafas politik” buat tokoh-tokoh yang sudah hilang pengaruh?
PAS tidak kelihatan pada pertemuan awal jelas menunjukkan retakan dalam Perikatan Nasional sendiri. Bersatu pula masih sibuk bergelut dengan isu kepimpinan dalaman, manakala parti kecil seperti Pejuang dan Putra pula sekadar menumpang peluang untuk relevan. Bagaimana mungkin “gabungan longgar” ini boleh memberi ancaman besar jika asasnya sendiri retak menanti belah?
Pembangkang lantang menjerit tentang kos sara hidup, SST, subsidi dan harga barang. Tetapi sejauh mana mereka mampu tawarkan solusi yang praktikal? Atau sekadar mengulang-ulang naratif murahan tanpa pelan tindakan jelas?
Rakyat semakin bijak menilai mereka tidak lagi mahu retorik kosong. Hari ini, pembangkang menuding jari pada kerajaan, tetapi jangan lupa, ada antara mereka pernah berkuasa dan rekod lama itu masih menghantui.
Bersatu bergolak dengan desakan supaya Muhyiddin berundur, manakala Hamzah cuba mengukuhkan kedudukan. PAS pula semakin menunjukkan belang “abang besar” dalam PN, sering mahu keputusan dibuat mengikut telunjuk mereka. Keadaan ini hanya menampakkan bahawa pembangkang lebih sibuk bergaduh sesama sendiri berbanding membela rakyat.
Apabila idea habis, isu perkauman kembali dimainkan. Pembangkang dilihat terus menggunakan sentimen kaum dan agama sebagai modal, kononnya kerajaan gagal menjaga orang Melayu dan Islam. Naratif ini mungkin menguatkan sokongan di kubu tradisi, tetapi ia semakin ditolak oleh pengundi bandar dan generasi muda yang lebih mahukan solusi ekonomi, bukan politik identiti murahan.
Selagi tidak ada kepimpinan yang jelas, hala tuju yang mantap dan tawaran terbaik buat rakyat, masa depan pembangkang hanyalah kabur ibarat kapal besar yang kehilangan nakhoda.
Pembangkang hari ini ibarat bara yang hampir padam masih ada percikan, tetapi tiada arus besar untuk menyala. Mereka boleh menjerit, boleh bersidang, boleh umum gabungan, tetapi tanpa visi dan kesatuan sejati, ia tidak lebih sekadar sandiwara politik yang semakin hambar di mata rakyat.
Apa Reaksi Anda?











