KEMAS Memasuki Fasa Baharu, Gabung Pendidikan Agama dan Teknologi
KEMAS perlu melangkah ke fasa baharu dengan memperkukuh pendidikan berteraskan nilai dan agama serta penguasaan teknologi bagi memastikan anak-anak mendapat asas pendidikan yang lebih baik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peranan pendidikan di TASKA dan TABIKA KEMAS semakin penting seiring perubahan ekosistem pendidikan negara serta kemasukan awal kanak-kanak ke alam persekolahan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika bersama keluarga besar KEMAS Negeri Pahang dalam Program Ramah Mesra Bersama Warga KEMAS, semalam.
“Sudah 60 tahun KEMAS berbakti. Daripada kelas pendidikan dewasa suatu ketika dahulu, KEMAS terus berkembang mengikut perubahan zaman sehingga menjadi antara institusi utama dalam pendidikan awal kanak-kanak negara.
“Sepanjang enam dekad ini, kira-kira 8.4 juta kanak-kanak telah mendapat pendidikan melalui TABIKA dan TASKA KEMAS,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, KEMAS perlu diperkukuh dengan dua perkara penting iaitu pembentukan nilai dan agama serta penguasaan teknologi.
“Selain memperluas penggunaan Smart Class dan smartboard, kita juga mahu memperkukuh pengajian serta hafazan al-Quran buat anak-anak cilik ini di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, selepas enam dekad membina masyarakat dari akar umbi, KEMAS perlu terus berani berubah tanpa meninggalkan asas yang telah membentuk kekuatannya selama ini.
“Kita mahu melahirkan generasi yang kukuh nilai dan jati dirinya, celik teknologi serta mempunyai asas pendidikan yang baik untuk melangkah lebih jauh.
“Insya-Allah, KEMAS akan terus kita perkasa dan kekal dekat di hati rakyat,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?











