Senjata diletak, perang belum tamat
Memulihkan pemikiran dan ideologi bekas anggota komunis menjadi antara cabaran terbesar pasukan keselamatan selepas mereka menyerah diri.
Bekas Panglima Kor Risik Diraja, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdullah Samsudin, 96, berkata, penyerahan diri anggota komunis bukan pengakhiran tugas pasukan keselamatan, sebaliknya misi lebih sukar untuk memastikan mereka kembali ke pangkuan masyarakat.
Menurut beliau, proses itu memerlukan usaha berterusan untuk mengubah pemikiran dan ideologi bekas anggota komunis, selain memulihkan fizikal serta mental mereka selepas bertahun-tahun hidup di hutan.
Setelah lima dekad berlalu, Abdullah mengimbau kembali pengalaman ketika dihantar ke Sarawak pada 1973 untuk menyertai Operasi Sri Aman yang dilaksanakan susulan persetujuan pihak komunis untuk meletakkan senjata.
“Saya dilantik salah seorang ahli Jawatankuasa Pemulihan Sri Aman dari 1974 hingga 1976 bagi membantu kerajaan negeri memastikan bekas anggota komunis yang menyerah diri benar-benar bersedia untuk memulakan kehidupan baharu,” katanya.
Abdullah berkata demikian kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Peminat Sejarah Pahlawan, Michael Choo di kediamannya di Ampang, baru-baru ini.
Menurut Abdullah, seramai 482 anggota komunis menyerah diri kepada pihak berkuasa di Sarawak sepanjang operasi.
“Kebanyakan mereka merupakan anggota Parti Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) dipimpin Bong Kee Chok.
“Inilah kali pertama saya berdepan dengan anggota komunis yang masih hidup. Sebelum itu, saya hanya melihat mayat mereka dalam banyak operasi ketenteraan," katanya.
Beliau mengakui pada awalnya berasa marah terhadap komunis yang dianggap musuh negara, namun pandangannya berubah selepas melihat sendiri keadaan mereka yang bertahun-tahun hidup di hutan.
“Apabila mendengar cerita bekas anggota komunis, ramai sebenarnya terpengaruh atau diperdaya oleh perjuangan pemimpin mereka,” katanya.
Abdullah berkata, kebanyakan anggota komunis yang menyerah diri, kurus, berpakaian lusuh dan mengalami pelbagai masalah kesihatan akibat hidup serba kekurangan di pedalaman.
Katanya, kedua-dua pihak bersetuju memilih lokasi rahsia yang selamat bagi penyerahan diri anggota komunis.
“Selepas menyerah diri, bekas komunis itu tidak dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga, sebaliknya perlu melalui proses pemulihan suatu tempoh untuk memulihkan fizikal dan mental mereka,” katanya.
Menurut beliau, cabaran terbesar ialah mengubah kepercayaan yang telah berakar umbi, terutama dalam kalangan anggota yang masih enggan mengakui kegagalan perjuangan komunis.
“Mereka terlalu mempercayai pemimpin yang menakut-nakutkan mereka. Sebab itu, proses pemulihan memerlukan kesabaran kerana tidak mudah untuk seseorang mengubah pegangan yang dipercayainya selama bertahun-tahun,” katanya.
Pasukan Templer's 12
Mengimbau awal kerjaya ketenteraannya, Abdullah menyertai Rejimen Persekutuan selepas membaca berita mengenai penubuhan pasukan itu pada 1952.
“Apa yang mendorong saya memohon berkhidmat dalam pasukan infantri baharu itu adalah kerana ia melibatkan pelbagai kaum dari seluruh Tanah Melayu,” ujarnya.
Menurut beliau, Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu ketika itu, Jeneral Sir Gerald Templer, menemu duga beliau sebelum menjadi individu pertama menyertai pasukan berkenaan.
“Seramai 12 anak muda daripada pelbagai latar belakang dipilih menyertai pasukan itu dan dikenali sebagai Templer's 12. Kami kemudian menjalani latihan di Port Dickson," katanya.
Anak kelahiran Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang itu berkata, beliau bersama 11 lagi rakan dihantar ke Eaton Hall Officer Cadet School di Chester sebelum meneruskan latihan di Royal Military Academy Sandhurst, England, yang merupakan antara akademi ketenteraan paling berprestij di dunia.
“Saya bersama rakan sepasukan terlibat dalam operasi menentang komunis di Kedah, Perak, Johor dan Negeri Sembilan selepas kembali ke tanah air pada 1955,” katanya.
Kerjaya ketenteraan Abdullah terus berkembang apabila terlibat dalam pelbagai misi penting termasuk penugasan operasi di peringkat antarabangsa di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bapa kepada dua anak lelaki itu berkata terlibat dalam misi pengaman di Congo dari 1960 hingga 1963.
“Pasukan yang dihantar ke negara itu dikenali sebagai Malaya Special Force (MSF).
“Saya merupakan pegawai tentera terakhir dari Malaysia meninggalkan Congo setelah tamat misi di sana.” ujarnya.
Abdullah memaklumkan jawatan terakhirnya ialah Ketua Pengarah Risikan sebelum bersara Angkatan Tentera Malaysia pada 1985 selepas menabur bakti selama 33 tahun.
Sementara itu, Michael berkata Abdullah merupakan anak tempatan pertama menyertai Rejimen Persekutuan yang kini dikenali sebagai Kor Armor Diraja.
“Abdullah juga merupakan pegawai terakhir daripada kumpulan 'The Templer's 12' yang masih hidup,” katanya.
Beliau berkata pihaknya mahu memastikan sejarah perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan terus dipelihara serta tidak dilupakan oleh generasi muda.
“Setiap veteran telah berjuang demi negara serta berjasa kepada tanah air dan kita perlu menghargai segala pengorbanan mereka,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











