Kerajaan Pahang Salur Bantuan Bantu Murid Hidap Leukemia
Keprihatinan Kerajaan Pahang terhadap kebajikan rakyat sekali lagi dizahirkan apabila meluluskan bantuan khas sekali bayar berjumlah RM5,000 kepada Nur Arissa Mohd Sabri, 11, yang kini sedang menjalani rawatan akibat penyakit leukemia.
Pengerusi Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) Parlimen Indera Mahkota, Nik Mohd Ridzuan Kamarudin berkata, permohonan bantuan itu dikemukakan kepada Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail selepas melihat kesukaran yang dihadapi keluarga Nur Arissa, khususnya dalam menanggung kos perjalanan berulang-alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan.
Menurut beliau, selain sumbangan peribadi yang turut disalurkan, bantuan khas daripada kerajaan negeri diharap dapat meringankan beban kewangan keluarga, terutama melibatkan kos pengangkutan dan keperluan sepanjang proses rawatan.
"Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan adik Arissa. Sekiranya terdapat keperluan tambahan, kita akan mengemukakan permohonan bantuan lanjut, termasuk bagi menampung kos rawatan yang diperlukan," katanya ketika mengadakan lawatan ke kediaman keluarga Nur Arissa di Kampung Cengal Lempung.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang sentiasa komited memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya golongan kurang berkemampuan serta pesakit yang memerlukan rawatan jangka panjang.
Nik Mohd Ridzuan turut meluahkan rasa simpati terhadap nasib Nur Arissa yang sebelum ini dikenali sebagai seorang murid yang ceria dan cemerlang dalam pelajaran sebelum disahkan menghidap leukemia.
Beliau berharap kanak-kanak itu diberi kekuatan untuk menjalani rawatan sehingga sembuh sepenuhnya dan dapat kembali meneruskan persekolahan seperti rakan-rakan seusianya.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa MTSP akan terus berusaha mendapatkan saluran bantuan yang bersesuaian bagi memastikan keluarga Nur Arissa tidak berdepan kekangan kewangan sepanjang proses rawatan berlangsung.
Apa Reaksi Anda?











