MIC Kekal Bersama BN, Cerminkan Kesetiaan dan Kematangan Politik
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC untuk terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai satu langkah yang jelas, tegas dan berpandangan jauh, sekali gus mencerminkan kesetiaan serta kematangan politik parti itu.
Setiausaha Agung Barisan Nasional, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keputusan tersebut bukan sekadar pendirian politik semasa, tetapi berakar daripada sejarah panjang perjuangan sejak era Perikatan (1955–1973) sebelum diperkukuhkan melalui BN yang ditubuhkan pada 1974.
Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut, gabungan berkenaan telah melalui pelbagai cabaran termasuk isu perkauman, tekanan politik dan perubahan landskap nasional, namun tetap kekal bertahan berasaskan nilai kepercayaan, kesetiaan dan tanggungjawab bersama.
“Dalam keadaan politik yang semakin berpecah dan tidak menentu, rakyat memerlukan sebuah platform yang stabil serta berpengalaman. BN telah membuktikan keupayaannya mentadbir negara secara inklusif dan pragmatik, menjadikannya masih relevan hingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kekuatan BN juga terletak pada muafakat pelbagai kaum yang telah lama terbina dan diuji oleh masa, sekali gus memainkan peranan penting dalam memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terus terpelihara.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa BN turut menunjukkan keupayaan untuk memperbaharui diri melalui proses penstrukturan semula organisasi dan pendekatan yang lebih responsif terhadap kehendak rakyat masa kini.
“Keputusan ini juga membawa mesej jelas dalam menolak politik perpecahan. Prinsip kebersamaan dan solidariti tidak boleh digadai demi kepentingan jangka pendek,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Zambry berkata usaha memperkemaskan BN akan terus dipergiatkan bagi memastikan gabungan tersebut kekal kukuh dan mampu berdepan sebarang cabaran dengan kebijaksanaan serta kekuatan dalaman.-PAHANGKU MEDIA
Apa Reaksi Anda?











