Militan serang bas, lapan maut 15 cedera
KARACHI: Sekumpulan lelaki bersenjata bertindak menyerang sebuah bas di Chilas, dekat utara Pakistan semalam, kata jurucakap wilayah kerajaan, Muhammad Ali Johar.
Serangan membunuh lapan penumpang dan mencederakan sekurang-kurangnya 15 yang lain.
Mengulas lanjut, Muhammad Ali berkata, militan terbabit melepaskan tembakan ke arah bas pada petang semalam dan mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke hospital.
Susulan serangan itu, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab manakala motif serangan tidak jelas.
Chilas, sebuah pekan yang terletak di kawasan pergunungan Gilgit Baltistan berhampiran wilayah Khyber Pakhtunkhwa di mana serangan di wilayah berkenaan semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketegangan turut meliputi beberapa kawasan yang dituntut oleh Taliban Pakistan atau lebih dikenali sebagai Tehreek-e-Taliban (TTP).
Pekan terbabit juga terkenal sebagai destinasi persinggahan untuk pelancong serta berada berhampiran projek pembinaan empangan yang disokong China. - REUTERS
Apa Reaksi Anda?











