Muhyiddin Sebagai Calon PM, Adakah Kegagalan Sama Mahu Diulang?

Oleh : BARD
September 9, 2025 - 14:04 MYT
Muhyiddin Sebagai Calon PM, Adakah Kegagalan Sama Mahu Diulang?

Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib mempersoalkan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang terus menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Katanya tindakan tersebut sekaligus membuktikan parti tersebut ketandusan tokoh berwibawa.

“Mengejutkan apabila usul melantik semula Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 diluluskan.

“Persoalannya, adakah Bersatu (PPBM) sudah begitu ketandusan pemimpin sehingga tidak mampu menampilkan calon lain yang lebih berkredibiliti?

“Jika inilah ‘calon terbaik’ yang mampu diketengahkan oleh Bersatu, maka rakyat tidak perlu hairan kenapa parti itu semakin ditolak,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau berkata rakyat juga tidak boleh melupakan kegagalan pentadbiran Muhyiddin sewaktu memegang jawatan Perdana Menteri.

Menurut Abdul Rahim terutamanya kegagalannya dalam menangani pelbagai krisis yang melanda negara.

“Kita tidak boleh menutup mata terhadap kegagalan beliau semasa mentadbir negara, khususnya dalam menguruskan pandemik COVID-19, kestabilan politik dan ekonomi negara. Adakah kegagalan yang sama mahu diulangi?

“Rakyat Malaysia semakin bijak menilai. Mereka mahukan kepimpinan yang stabil, berkaliber dan benar-benar berwibawa, bukan sekadar kitar semula individu yang telah terbukti gagal.

“Mengulangi kesilapan yang sama sambil mengharapkan hasil berbeza hanyalah ibarat menanam lalang dan mengharap padi tumbuh,” bidas beliau.

Tegas beliau lagi tindakan PPBM terus menampilkan Muhyiddin juga sebagai percubaan mengitar semula kegagalan lampau.

Katanya, rakyat tidak seharusnya tertipu dengan janji baharu yang ditawarkan kerana realitinya, mereka membawa pendekatan sama yang pernah mengecewakan negara.

“Hakikatnya, kerajaan yang dibina atas asas pengkhianatan tidak akan mampu bertahan lama.

“Bersatu sendiri lahir daripada pengkhianatan terhadap mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan kini berhadapan dengan pengkhianatan dari dalam parti itu sendiri,” ujar beliau.

Terdahulu Muhyiddin mendedahkan terdapat beberapa anggota dalam partinya sedang mengumpul tandatangan dalam usaha untuk menggulingkannya, menyebabkan beberapa perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) menggesa beliau meletak jawatan.

Bagaimanapun PAT meluluskan usul menamakan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebagai calon Perdana Menteri ke-11 daripada PPBM.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow