Kapal utama misi Flotilla bawa bantuan ke Gaza diserang dron Israel
Kapal utama misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dikenali sebagai Family Boat dilaporkan diserang dron di perairan Tunisia, sehingga menyebabkan kebakaran ketika dalam pelayaran menuju Gaza.
Menerusi perkongsian Rahmat Ikhsan atau PU Rahmat, salah seorang peserta misi kemanusiaan berkenaan, kejadian itu tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
"Salah satu kapal laut kami diserang dron dan terbakar. Semua bertenang kerana tiada kemalangan jiwa.
"Semua rakyat Malaysia selamat," katanya pada Selasa.
Sementara itu, Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman turut membuat hantaran di Instagram mengenai kejadian.
"Kapal yang dinaiki Greta, Thiago dan Yasemin dibom oleh dron ketika sedang berlabuh di Tunisia.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Doakan," tulis beliau merujuk kepada aktivis Sweden Greta Thunberg, aktivis Brazil Thiago Avila dan aktivis Jerman Yasemin Acar yang juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa pemandu GSF," katanya yang merupakan salah seorang peserta misi.
Terdahulu, seramai 15 rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran tersebut bermula 31 Ogos lalu dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
Misi berkenaan merupakan sebahagian daripada GSF yang menghimpunkan lebih 50 bot dengan penyertaan sukarelawan dari 44 negara, membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.
Konvoi itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, penyanyi Zizi Kirana serta pelakon Ardell Aryana.
Apa Reaksi Anda?











