Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman

Oleh : BARD
Januari 6, 2025 - 14:27 MYT
Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman

Bekas Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.

Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan.

Bekas Ahli Parlimen Pekan ini merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Bekas pemimpin UMNO itu mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya, menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya.

Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah terbabit.

Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.

Sebelum ini, Najib selaku pemohon, meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lepas.

Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow