Jangan Ada Yang Lagak Hero Berjuang Untuk Najib
Pihak tertentu diingatkan untuk tidak bertindak seperti hero membabitkan Titah Adendum Diraja yang telah dibuktikan kewujudannya di Mahkamah Rayuan semalam, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Beliau berkata ini kerana UMNO melalui kepimpinan parti sudah lama mengusahakan agar keadilan diberikan kepada Dato' Sri Mohd Najib Razak.
“Jangan ada yang lagak hero perjuangan tentang Dato' Sri Najib Razak, ia telah lama dilakukan dengan usaha dari Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail melalui afidavit tambahan menyokong petisyen Dato' Sri Najib Razak.
“Saya minta anggota akar umbi bersatu dan terus bersyukur serta akur dengan keputusan mahkamah hari ini dan titah Yang di-Pertuan Agong.
“Puteri UMNO juga menjunjung kasih kepada Sultan Pahang dan mohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk Dato' Sri Najib Razak,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan semalam dalam keputusan majoriti 2-1 mengembalikan Najib Razak berhubung dakwaan kewujudan Titah Adendum Diraja kepada Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan semalam memulakan prosiding bagi mendengar rayuan Najib berhubung dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum, dengan pendengaran permohonan pihak pembelaan mengemukakan bukti tambahan.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Apa Reaksi Anda?











