Pahang Sasar Lagi RM1 Bilion: Tiga Tahun Berturut-turut, Tahun Ini Bukan Mustahil

Oleh : BARD
Ogos 1, 2025 - 10:00 MYT
Pahang Sasar Lagi RM1 Bilion: Tiga Tahun Berturut-turut, Tahun Ini Bukan Mustahil

Kerajaan Negeri Pahang optimis untuk mengulangi kejayaan kutipan hasil melebihi RM1 bilion pada tahun 2025, selepas mencatat pencapaian cemerlang selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022.

Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat 30 Julai 2025, kerajaan negeri telah mengutip lebih RM700 juta, meletakkan Pahang di landasan kukuh untuk mengulangi kejayaan besar itu buat tahun keempat.

Rekod pencapaian hasil negeri:

2022: RM1.037 bilion

2023: RM1.137 bilion

2024: RM1.144 bilion

2025 (sehingga Julai): RM700 juta+

“Melihat kepada prestasi semasa, Insya-Allah kita mampu sekali lagi melepasi angka RM1 bilion. Ini adalah hasil pengurusan yang sistematik dan disiplin fiskal yang kukuh,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman dividen KOSMA 2024, di Kuantan.

Selain pencapaian hasil, Pahang turut mencipta kejayaan luar biasa apabila berjaya mengurangkan hutang negeri daripada RM3.2 bilion kepada hanya RM900 juta, membuktikan kecekapan pentadbiran kewangan di bawah pimpinan Wan Rosdy.

Kejayaan ini disumbang oleh usaha membanteras ketirisan, kawalan perbelanjaan berhemah dan prinsip tadbir urus yang jelas  “Berjimat jangan kedekut, berbelanja jangan boros.”

Kutipan hasil negeri yang tinggi telah disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan seperti Bantuan Prihatin Pahang (BPP), pembangunan luar bandar, pendidikan dan program bantuan bersasar yang menyeluruh.

Dengan prestasi konsisten sejak 2022, Pahang kini berdiri sebaris dengan negeri-negeri maju seperti Selangor dan Johor, menjadikan aspirasi melepasi RM1 bilion pada 2025 bukan sekadar harapan tetapi satu jangkaan yang realistik.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow