Pahang Terus Maju: Projek Perintis “Pangsapuri Pahangku” Bukti Kerajaan Negeri Tidak Sekadar Berjanji
Sementara sesetengah pihak hanya pandai berpolitik dan menabur janji kosong, Kerajaan Negeri Pahang di bawah teraju YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail terus bekerja membuktikan komitmen untuk rakyat.
Projek perintis Pangsapuri Pahangku di Bentong bukan sekadar pembangunan hartanah tapi ia adalah bukti nyata bahawa kerajaan negeri tidak bercakap kosong apabila berjanji menyediakan rumah mampu milik berkualiti kepada golongan muda. Sebanyak 1,000 unit akan dibina, membuka peluang keemasan kepada rakyat memiliki kediaman selesa tanpa terbeban.
Bentong dipilih sebagai lokasi pertama kerana 63% penduduknya adalah anak muda, menurut data rasmi Jabatan Statistik Negara. Lokasi yang strategik ini berhampiran Kuala Lumpur, membolehkan penduduk berulang-alik ke ibu kota atau ke Kuantan dengan mudah selari dengan visi pembangunan bersepadu sekitar stesen ECRL.
Di bawah pentadbiran Wan Rosdy, Pahang menjadi negeri terpanjang jajaran ECRL (224 km) dengan tujuh stesen utama iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Paya Besar, Kota SAS, Kuantan Port City (KPC) dan Cherating. Bukan sekadar transit, kawasan dalam radius 16 kilometer setiap stesen akan dibangunkan untuk manfaat rakyat.
Pangsapuri Pahangku dibina di atas tanah seluas 2.6 hektar, dengan setiap unit berkeluasan 900 kaki persegi, mempunyai tiga bilik tidur yang sesuai untuk keluarga muda. Harga pula kekal berpatutan, tidak membebankan pembeli, selari dengan prinsip kerajaan negeri membantu rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
Berbanding pihak pembangkang yang lebih sibuk mencari modal politik dan menyerang, kerajaan negeri terus membuktikan hasil kerja di lapangan. Projek seperti ini tidak lahir daripada retorik, tetapi daripada perancangan rapi, data yang tepat, dan keazaman untuk melihat rakyat Pahang menikmati kemudahan setaraf bandar maju.
“Kita akan pastikan harga rumah kekal mampu milik dan projek ini diperluas ke kawasan lain mengikut keperluan rakyat,” tegas Wan Rosdy dalam majlis pecah tanah di Taman Awam Ujana, Bentong.
Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Dato' Ahmad Islanizam A. Halim.
Rakyat Pahang kini boleh menilai sendiri siapa yang bekerja, siapa yang hanya pandai berkata-kata. Di saat kerajaan negeri melaksanakan projek sebenar untuk kesejahteraan rakyat, ada pihak lain yang hanya muncul ketika pilihan raya dengan janji manis yang akhirnya tinggal sebagai cerita basi.
Pahang di bawah kepimpinan Wan Rosdy bukan sahaja membina rumah, tetapi membina masa depan. Bezanya, kerja nyata akan kekal dalam sejarah, manakala retorik kosong akan hilang ditelan masa.
Apa Reaksi Anda?











