Rumah Bangsa UMNO Platform Penyatuan, Denyut Nadi Rakyat

Oleh : BARD
Januari 22, 2026 - 11:00 MYT
Rumah Bangsa UMNO Platform Penyatuan, Denyut Nadi Rakyat

Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Damansara, Ali Amir Razali menyifatkan amanat disampaikan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 adalah seruan untuk kebangkitan dan melakukan pembaharuan.

Katanya ini kerana perubahan hanya bermakna apabila setiap ahli menjadi sebahagian daripada gerakan transformasi, sekaligus bagi membuktikan parti ini kekal relevan, diperlukan serta mampu memimpin Malaysia ke hadapan.

“PAU tahun ini mencetuskan suasana yang cukup segar dan berbeza. Kehangatan dewan dan semangat para perwakilan semakin terserlah melalui ucapan dasar dan penggulungan Presiden UMNO yang penuh keyakinan serta arah tuju jelas.

“Penekanan Presiden mengenai keperluan melakukan rebranding menunjukkan UMNO memahami tuntutan semasa. Ia bukan hanya tanggungjawab kepimpinan tertinggi, tetapi melibatkan semua sayap dan peringkat termasuk akar umbi dan Pemuda,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Ali, seruan supaya UMNO meninggalkan politik bermusim adalah relevan kerana parti ini tidak seharusnya hanya aktif menjelang pilihan raya.

Sehubungan dengan itu katanya UMNO mesti kembali menjadi gerakan rakyat dan mencari penyelesaian konkrit terhadap masalah masyarakat.

“Saya faham ketegasan Presiden bahawa UMNO harus terus komited dalam Kerajaan Perpaduan. Dalam realiti politik hari ini, kestabilan negara adalah keutamaan.

“UMNO harus kekal menjadi parti yang matang, pragmatik dan berprinsip sambil mempertahankan kepentingan Melayu, Bumiputera dan umat Islam dalam kerangka nasional,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau turut menyentuh mengenai penubuhan jawatankuasa khas bagi menerima semula ahli yang keluar atau digantung, memperlihatkan kesediaan UMNO untuk merangkumkan kesemua tenaga perjuangan.

“Ini adalah langkah yang tepat UMNO bukan parti berhalangan, tetapi parti yang membuka peluang kepada mereka yang ingin kembali menyumbang. Semakin ramai bersama, semakin kuat barisan jentera di setiap cawangan dan bahagian.

“Konsep Rumah Bangsa yang diketengahkan turut menjadi simbol keyakinan baharu UMNO. Ia mencerminkan kesediaan parti mendepani perubahan landskap politik dengan pendekatan lebih inklusif, progresif dan berorientasikan penyelesaian.

“Rumah Bangsa menggambarkan UMNO sebagai platform penyatuan, merangkum semua lapisan rakyat dan menggabungkan idealisme lama dengan inovasi baharu. Untuk tampil semula sebagai peneraju, UMNO mesti berada dalam denyut nadi kehidupan rakyat bukan sahaja di pentas ucapan, tetapi di lapangan setiap hari,” ujar beliau. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow