PASUKAN AS DISERANG DI PANGKALAN UDARA DI IRAQ
BAGHDAD : Pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) bertindak mempertahankan diri selepas diserang di pangkalan udara di barat Baghdad pada Selasa, menyebabkan beberapa pemberontak yang disokong Iran terbunuh.
Pegawai AS berkata, pangkalan udara Ain al-Asad diserang menggunakan peluru berpandu balistik jarak dekat yang mengakibatkan lapan anggota tentera cedera dan kerosakan kecil pada infrastruktur.
AS bertindak balas menggunakan pesawat AC-130 yang sudah berada di udara dan menyerang kenderaan penyerang yang disokong Iran dan beberapa kakitangan AS turut terbabit dalam serangan itu, kata jurucakap Pentagon, Sabrina Singh.
Tambah beliau, pesawat itu dapat menentukan lokasi asal serangan dan bertindak balas terhadap penyerang dengan mudah kerana dapat memerhatikan pergerakan mereka.
Ini adalah tindak balas pertama di wilayah Iraq terhadap serangan dron dan peluru berpandu militan baru-baru ini ke atas tentera AS, tetapi Singh berkata terdapat serangan sebelum ini yang tidak dilaporkan.
AS setakat ini mengehadkan serangan balas balas terhadap 66 serangan menyasarkan tenteranya di Iraq dan negara jiran Syria, yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militia Iraq bersekutu dengan Iran, dalam tiga serangan berasingan di Syria.
Sekurang-kurangnya 62 anggota tentera AS mengalami kecederaan ringan atau kecederaan trauma otak dalam serangan itu.
Serangan yang bermula pada 17 Oktober itu dikaitkan oleh kumpulan militia Iraq dengan sokongan AS terhadap Israel yang mengebom Gaza berikutan serangan kumpulan pejuang Hamas ke atas Israel.
Serangan terhadap sasaran AS menamatkan gencatan senjata sebelah pihak selama setahun, yang diisytiharkan oleh beberapa kumpulan dibentuk di Iraq selepas pencerobohan AS pada 2003 bagi memerangi tentera AS dan pada 2014 untuk memerangi Daesh.
Amerika Syarikat mempunyai 900 tentera di Syria dan 2,500 di Iraq dalam misi yang dikatakan bertujuan untuk menasihati dan membantu pasukan tempatan yang cuba menghalang kebangkitan semula Daesh, yang pada 2014 merampas sebahagian besar kedua-dua negara, sebelum dikalahkan. - REUTERS
Apa Reaksi Anda?











