Program Santuni Saudaraku Kukuhkan Jalinan Ukhuwah Bersama Masyarakat Orang Asli Pahang
Komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa kesejahteraan komuniti Orang Asli diteruskan melalui penganjuran Program Santuni Saudaraku, anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan kerjasama strategik pelbagai agensi.
Program yang dijalankan di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Orang Asli Sungai Bilut ini menjadi antara medium penting dalam merapatkan hubungan dan menyantuni masyarakat Orang Asli menerusi pendekatan bersemuka serta penyaluran bantuan secara langsung.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, inisiatif ini merupakan antara agenda utama di bawah Aspirasi Pahang1st yang diperkenalkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Alhamdulillah, hari ini kita dapat turun padang menyantuni saudara-saudara kita di kampung ini. Melalui Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang), kita menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan, sambil mengeratkan lagi silaturahim antara masyarakat dan pemimpin,” ujar beliau.
Majlis berkenaan turut dirangka bersempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang, dan dihadiri oleh beberapa tokoh penting negeri termasuk YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, serta Pengarah JAIP, YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Program Santuni Saudaraku telah dilaksanakan secara berterusan sejak tiga tahun lalu, dimulakan di daerah Bera dan Bentong sebelum diteruskan di Raub tahun ini. Kejayaan pelaksanaannya disumbangkan oleh kerjasama erat antara JAIP, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Yayasan Pahang.
“Setiap tahun kita jalankan program ini, walaupun pasukan petugas tidak ramai hanya sekitar 50 hingga 60 orang tetapi mereka amat komited. Gerakan ini telah memberikan kesan besar kepada pembangunan komuniti Orang Asli,” kata YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim.
Antara kejayaan hasil inisiatif ini termasuk:
Pembinaan hampir 200 buah Rumah Rakyat Pahang (RRP) khusus untuk masyarakat Orang Asli.
Penempatan purata 30 pelajar Orang Asli ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.
Penubuhan 6 buah sekolah KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain) di perkampungan Orang Asli.
Pembangunan 12 buah surau bertaraf masjid di kampung-kampung Orang Asli.
1,765 Penerima Bantuan dan Anugerah Khas
Majlis kali ini turut menyaksikan penyampaian bantuan I.M Pahang kepada seramai 1,765 Orang Asli daripada enam daerah terpilih. Dalam usaha menghargai sumbangan dan pencapaian komuniti, empat anugerah turut disampaikan iaitu:
Anugerah Surau Kebenaran Jumaat Terbaik
Anugerah Kampung Orang Asli Terbaik
Anugerah Daie Saudara Baharu
Anugerah Tokoh Maal Hijrah Saudara Baharu Peringkat Negeri Pahang
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim turut menegaskan bahawa pendekatan berterusan sebegini akan diteruskan bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.
Apa Reaksi Anda?











