Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang Bawa Sinar Harapan Buat Mangsa Musibah
Keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu rakyat yang berdepan kesukaran terus dizahirkan menerusi penyaluran sumbangan kepada individu, pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi meringankan beban serta menyokong pelaksanaan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Bagi mangsa kebakaran rumah di Taman Seri Keramat, Maran, Puan Maziyah Ngah, 65, sumbangan yang diterima menjadi penyuntik semangat untuk meneruskan kehidupan selepas kediamannya musnah dalam kebakaran pada 28 April lalu.
Menurut beliau, kejadian itu menyebabkan rumah beserta semua harta benda tidak dapat diselamatkan, sekali gus memaksanya menumpang sementara di kediaman anaknya di Balok.
“Rumah makcik habis terbakar pada 28 April lalu. Sekarang makcik menumpang di rumah anak di Balok. Kami juga telah memohon pelbagai bentuk bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas bantuan yang diberikan ini. Saya sangat terharu dan berharap bantuan untuk pembinaan rumah dapat disegerakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang di Majlis Bandaraya Kuantan, semalam.
Sementara itu, Setiausaha Kelab Rekreasi dan Kebajikan Hospital Bentong, Nur Hazmiza, 40, turut merakamkan penghargaan atas sumbangan kewangan yang diterima bagi membantu pelaksanaan pelbagai program kebajikan dan rekreasi untuk warga hospital.
Beliau berkata, permohonan yang dikemukakan pada Februari 2026 menerima maklum balas dalam tempoh yang singkat, sekali gus membolehkan kelab merancang pelbagai program demi manfaat ahlinya.
Kami memohon sumbangan ini pada Februari 2026 dan tidak mengambil masa lama untuk diluluskan.
“Kami mewakili kelab ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Sri atas kesudian membantu menjayakan aktiviti Kelab Rekreasi dan Kebajikan Hospital Bentong yang melibatkan kira-kira 500 kakitangan hospital bagi setiap program, selain menjaga kebajikan ahli,” katanya.
Sumbangan yang disampaikan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, sama ada kepada mangsa yang ditimpa musibah, pertubuhan mahupun badan bukan kerajaan (NGO).
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk meringankan beban rakyat, memperkukuh jaringan kebajikan serta menyokong pelaksanaan program yang memberi impak positif kepada komuniti di seluruh negeri.
Apa Reaksi Anda?











