Kerajaan Pahang Lulus RM30,000 Baik Pulih Jeti Nelayan Sungai Belat Demi Keselamatan Pengguna

Oleh : BARD
Ogos 6, 2026 - 11:00 MYT
Kerajaan Pahang Lulus RM30,000 Baik Pulih Jeti Nelayan Sungai Belat Demi Keselamatan Pengguna

Keprihatinan Kerajaan Pahang terhadap kebajikan rakyat sekali lagi diterjemahkan apabila Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, meluluskan peruntukan segera sebanyak RM30,000 bagi kerja-kerja membaik pulih Jeti Nelayan Sungai Belat di Kampung Belukar.

Kelulusan itu dibuat selepas beliau sendiri meninjau keadaan jeti berkenaan ketika menghadiri Siri Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Inderapura yang berlangsung di lokasi tersebut.

Hasil tinjauan mendapati jeti berkenaan berada dalam keadaan kurang memuaskan serta memerlukan pembaikan segera bagi memastikan keselamatan nelayan dan penduduk yang menggunakannya sebagai laluan harian.

“Saya lihat keadaannya tidak begitu baik dan kurang selamat. Tok Empat memohon peruntukan RM30,000, jadi saya luluskan serta-merta untuk kerja-kerja baik pulih,” kata beliau ketika ditemui selepas program berkenaan.

Tindakan pantas itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan selamat dan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat, khususnya komuniti nelayan yang bergantung kepada jeti tersebut sebagai akses utama untuk menjalankan aktiviti harian.

Selain menyantuni penduduk, program jelajah itu turut memberi peluang kepada Menteri Besar meninjau keindahan Sungai Belat dengan menaiki bot bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif, sebelum mendengar sendiri pelbagai isu yang dibangkitkan oleh masyarakat setempat.

Menurut Wan Rosdy, pendekatan turun padang seperti ini amat penting kerana ia membolehkan kerajaan melihat sendiri situasi sebenar di lapangan, sekali gus mempercepatkan proses membuat keputusan terhadap keperluan rakyat.

Beliau menjelaskan, setiap isu yang dikemukakan akan dinilai mengikut keutamaan. Permohonan yang boleh diselesaikan segera akan diberikan kelulusan serta-merta, manakala perkara yang memerlukan penelitian lanjut akan dirujuk kepada jabatan berkaitan untuk tindakan susulan.

“Lawatan seperti ini bukan sahaja memberi peluang untuk melihat sendiri keadaan kawasan, malah membolehkan kita mendengar terus suara rakyat. Ada perkara yang boleh kita luluskan segera, manakala yang lain akan diteliti oleh jabatan berkaitan sebelum dipertimbangkan,” katanya.

Program tersebut turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, barisan ketua jabatan negeri serta kepimpinan masyarakat setempat yang bersama-sama menjayakan siri jelajah berkenaan.

Mengakhiri lawatan, Wan Rosdy merakamkan penghargaan kepada penduduk Kampung Belukar atas sambutan mesra yang diberikan sepanjang program berlangsung.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif atas usaha mengatur program serta menyediakan jamuan makan di atas rakit yang disifatkannya sebagai pengalaman cukup istimewa.

Kelulusan segera bagi membaik pulih Jeti Nelayan Sungai Belat menjadi satu lagi bukti bahawa pendekatan turun padang yang dilaksanakan Kerajaan Pahang bukan sekadar mendengar keluhan rakyat, malah disusuli tindakan pantas bagi memastikan keperluan masyarakat terus diberi perhatian.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow