Puluhan ribu orang berarak di UK, Kanada gesa gencatan senjata kekal di Gaza

Oleh : PAHANGKU
November 26, 2023 - 23:23 MYT
Puluhan ribu orang berarak di UK, Kanada gesa gencatan senjata kekal di Gaza
Penunjuk perasaan membakar suar ketika Perarakan Kebangsaan Bagi Palestin di tengah London, menggesa gencatan senjata berkekalan antara Hamas dan Israel. - Foto AFP

LONDON: Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak di London dan Kanada semalam, bagi menuntut gencatan senjata penuh yang berkekalan antara Israel dan Palestin.

Ia adalah demonstrasi besar pro-Palestin yang terbaharu di ibu negara Britain sejak 7 Oktober lalu.

Penunjuk perasaan mengibarkan sepanduk pro-Palestin dan melaungkan slogan ketika berjalan melalui pusat bandar London ke Dewan Parlimen di Westminster.

Kira-kira 1,500 pegawai polis ditugaskan termasuk 500 lain yang dibawa masuk dari pasukan di luar London.

Demonstrasi itu dianjurkan oleh Kempen Solidariti Palestin dan Gabungan Hentikan Perang.

Polis London membuat ratusan tangkapan berkaitan jenayah berunsur kebencian perkauman sejak Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu.

Menunjukkan sokongan kepada hamas di Britain adalah satu jenayah kerana kumpulan pejuang itu diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas.

Di Ottawa, Kanada, ribuan penunjuk perasaan semalam membawa sepanduk, mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan di hadapan Parlimen Kanada di Ottawa, menuntut gencatan senjata penuh.

Perhimpunan itu disusuli dengan petisyen dalam talian yang dikemukakan kepada penggubal undang-undang dengan 286,719 tandatangan.

ia dikatakan jumlah paling banyak berbanding mana-mana e-petisyen Parlimen, menggesa Perdana Menteri, Justin Trudeau, mendesak gencatan senjata penuh di Gaza.

Demonstrasi di ibu negara Kanada itu berjalan secara aman, tetapi awal bulan ini Trudeau terpaksa diiringi keluar ke tempat selamat ketika polis menyuraikan protes pro-Palestin di luar restoran Vancouver tempat beliau menjamu selera.

Trudeau berkata pembunuhan 'wanita, kanak-kanak dan bayi' dalam perang Israel-Palestin mesti dihentikan, namun ia mendapat teguran keras daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow