Setiap DUN bakal miliki tadika tahfiz sendiri akhir tahun, 37 tadika tahfiz telah dibina

Oleh : BARD
Julai 9, 2025 - 13:00 MYT
Setiap DUN bakal miliki tadika tahfiz sendiri akhir tahun, 37 tadika tahfiz telah dibina

Kerajaan Pahang akan memastikan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini mempunyai sekurang-kurangnya satu Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) menjelang akhir tahun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, YB Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, setakat ini sebanyak 37 cawangan tadika tahfiz telah diwujudkan dengan jumlah pelajar seramai 1,180 orang.

“Di Kuantan sahaja terdapat sembilan cawangan tadika tahfiz, manakala seluruh negeri Pahang kini mempunyai 37 cawangan.

"Hanya tinggal lapan cawangan lagi yang akan dibangunkan bagi memenuhi kuota seperti yang dijanjikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, dan akan dibina serta dijangka siap akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Antara kawasan DUN yang bakal dibina TTNP ialah Sungai Lembing, Panching, Jenderak, Tahan, Pulau Tawar, Lanchang dan Triang.

Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang telah membelanjakan RM7.4 juta sebagai kos operasi permulaan bagi merealisasikan tadika tahfiz di negeri ini.

Beliau menambah, inisiatif itu mampu melahirkan lebih ramai anak-anak tahfiz yang berwibawa di Pahang kerana kerajaan negeri turut menyediakan laluan pendidikan menyeluruh melalui sekolah rendah tahfiz dan maahad tahfiz kerajaan negeri.

“Setakat ini, kita ada dua maahad tahfiz iaitu Maahad Tahfiz Profesional dan Maahad Tahfiz Turas, selain sebuah lagi sedang dibina di Kuala Lipis bagi menampung pelajar tadika tahfiz ini,” katanya.

Selain membina prasarana, Syed Ibrahim berkata, kerajaan turut menyediakan Bantuan Yuran Pendidikan TTNP sebanyak RM250 seorang kepada anak-anak daripada keluarga B40.

Jelasnya, bantuan ini bukan sahaja mampu meringankan beban keluarga, malah membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memberi ruang kepada seluruh rakyat Pahang untuk mendapat pendidikan ini.

“Syaratnya, mereka mestilah daripada keluarga B40, warganegara Malaysia, lahir di Pahang dan berumur antara empat hingga enam tahun.

"Permohonan boleh dibuat melalui Sistem Maklumat Pelajar (SMAP) TTNP dan bantuan ini tertakluk kepada tempoh pengajian dari Januari hingga Disember tahun ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, usaha memperkasakan pendidikan tahfiz di Pahang berjalan secara berterusan sehingga wujud kesinambungan pendidikan bermula tadika, sekolah rendah, maahad tahfiz dan pengajian peringkat menengah serta diploma.

“Kita yakin usaha murni ini bukan sahaja mendapat sambutan baik masyarakat, bahkan ia bakal merealisasikan apa yang disebut dalam al-Quran bahawa kebaikan itu mampu mencegah kemungkaran.

"Pasti, walaupun ia memerlukan masa, kerana demikianlah ALLAH menguji keupayaan, ketekunan dan kesungguhan kita,” katanya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow