Sirul Azhar pakai peranti pemantauan

Oleh : PAHANGKU
November 28, 2023 - 12:39 MYT
Sirul Azhar pakai peranti pemantauan
Sirul Azhar dalam temubual bersama AL-Jazeera.

KUALA LUMPUR : Bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar, yang dilepaskan dari pusat tahanan imigresen di Australia dipakaikan peranti pemantauan yang membolehkan pihak berkuasa memantau keberadaannya.

Pasukan Sempadan Australia (ABF) dilaporkan berkata, peranti elektronik dan sekatan pergerakan itu antara syarat ditetapkan kepada bekas tahanannya, seperti mana tertakluk di bawah Akta Migrasi dan Peraturan Migrasi negara itu.

"Mereka yang disabitkan bersalah dengan jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol dan pedofilia wajib memakai gelang itu, mematuhi sekatan pergerakan ketat serta 'keperluan pelaporan dan penglibatan'," katanya ABP seperti dilapor sebuah portal berita hari ini.

Sirul Azhar antara 140 tahanan bukan warga Australia yang dilepaskan selepas Mahkamah Tinggi di negara itu pada 8 November lalu memutuskan bahawa penahanan imigresen tanpa had menyalahi undang-undang.

Selepas dibebaskan, Sirul Azhar yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, dalam temubual bersama media antarabangsa kemudiannya merayu untuk meneruskan hidup di Australia, sambil menyatakan berbahaya kepadanya jika kembali ke Malaysia.

Dalam wawancara eksklusif bersama Aljazeera English 101 East itu, Sirul Azhar turut mendakwa dijadikan kambing hitam dan diperangkap dalam permainan politik, yang mana dia mengaku menerima RM1 juta ketika berada di Australia daripada sumber tidak dinamakan untuk tujuan 'menutup mulut.'

Keputusan Sirul Azhar untuk kekal tinggal di Australia itu sekali gus menyukarkan pihak berkuasa Malaysia untuk mengekstradisi beliau ke negara ini, sekali gus menyiasat dakwaannya menerima RM1 juta untuk menutup mulut tidak boleh dilakukan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kelmarin memberitahu, adalah sukar untuk pihak berkuasa mengekstradisi beliau selagi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu tidak mengemukakan permohonan semakan hukuman mati ke atasnya berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia itu.

Setakat hari ini, belum ada mana-mana pengamal undang-undang atau peguam yang memaklumkan mereka mewakili Sirul Azhar, bagi mengemuka sebarang notis semakan hukuman berkenaan. - SUMBER

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow