Giliran Bukit Gantang pula nyatakan sokongan terhadap PMX
Seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, (PN-Bukit Gantang) secara terbuka mengisytiharkan sokongan beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Syed Abu Hussin, beliau bersedia membantu kerajaan untuk mewujudkan masyarakat MADANI, menangani kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
“Dengan ini Bukit Gantang mengisiytiharkan menyokong Perdana Menteri.
“Saya sendiri bersedia untuk memberi dan membantu kerajaan mewujudkan masyarakat MADANI menangani kenaikan harga dan kos sara hidup dengan mengambil ibrah Nabi Yusuf,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau adalah Ahli Parlimen BERSATU kelima yang mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri.
Syed Abu Hussin turut menyeru agar Ahli Parlimen Pagoh dan Bera yang merupakan bekas Perdana Menteri, membantu Anwar dalam membina masyarakat MADANI.
“Dalam keadaan politik negara yang tidak stabil, bagaimana kerajaan nak menguruskan ekonomi, harga barang terus naik, kos sara hidup masih tinggi.”
“Oleh itu, demi negara yang tercinta, saya meminta Tambun, Pagoh dan juga Bera buanglah yang keruh ambil lah yang jernih. Marilah sebagai bekas Perdana Menteri membantu Tambun, membina masyarakat MADANI.
“Kepada ahli-ahli parlimen pembangkang pula, marilah kita berunding sebaiknya dengan kerajaan sebagaimana persefahaman sewaktu Bera menjadi Perdana Menteri.
“Jadi, adakah YAB PMX bersedia untuk menyambut kesediaan ahli-ahli parlimen yang berpengalaman, kepakaran, kebolehan, keupayaan untuk membantu rakyat sekaligus membnangun ekonomi negara,” katanya.
Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) daripada BERSATU iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) menyatakan pendirian masing-masing menyokong Anwar.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dilaporkan berkata, tindakan empat Ahli Parlimen itu tidak berkaitan dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat untuk bertukar parti yang boleh menyebabkan mereka hilang kerusi di Parlimen.
Apa Reaksi Anda?











