Perang Israel dengan Hizbullah berterusan di utara

Oleh : PAHANGKU
November 28, 2023 - 12:07 MYT
Perang Israel dengan Hizbullah berterusan di utara
Anggota tentera berdiri di sebelah kereta yang musnah akibat serangan Hizbullah di Kibbutz Manara, utara Israel berdekatan sempadan Lubnan. - Foto AFP

MENARA: Tentera Israel tidak berganjak dari kawasan penempatan yang diduduki mereka di utara Lubnan, di wilayah merentasi sempadan dua negara yang sekian lama dipertikaikan dengan Hizbullah.

Suasana tegang itu memuncak sejak pejuang Hamas menyerang penempatan Israel pada 7 Oktober lalu, dengan pejuang Hizbullah turut meningkatkan serangan terhadap tentera Israel.

Walaupun pemberhentian perang diumumkan di Gaza sejak Jumaat, sempadan Israel-Lubnan terus menyaksikan pertempuran sengit hampir setiap hari dengan pertubuhan pejuang yang disokong Iran itu.

Tentera Israel yang ditempatkan di utara negara itu bersemangat tinggi, menurut Yoshiahu, seorang kapten berusia 27 tahun yang hanya dibenarkan tentera memberikan nama pertamanya.

"Kami pasti akan berdepan sesuatu yang sengit lagi dahsyat kerana ketegangan semakin meningkat," katanya kepada AFP ketika lawatan tentera yang diatur ke kawasan berkenaan.

Dalam tempoh hampir dua bulan ini, Yoshiahu berkata, dia melakukan rondaan di sebahagian besar daripada apa yang dipanggil Blue Line, kira-kira 80 kilometer (km) dari persempadanan semula ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara Lubnan dan Israel.

Kebimbangan Israel tertumpu pada pencerobohan oleh pejuang bersenjata dan dron, yang menurut pihak tentera sudah pun berlaku berulang kali.

Hampir semua orang awam yang tinggal di sepanjang sempadan utara sudah dipindahkan oleh tentera dan kibbutz atau ladang komuniti Galilee Menara, antara penempatan paling dekat dengan garis persempadanan, kini lengang.

Pemberhentian sementara perang yang dicapai antara Israel dan Hamas di Gaza hanya mengurangkan sedikit siri berbalas tembakan di utara.

Di sepanjang sempadan, askar yang ditemui AFP mengulangi ungkapan sama iaitu mereka tidak mahu memulakan pertempuran dengan Hizbullah, tetapi hanya 'mempertahankan' negara.

Menurut pengiraan AFP, pertempuran antara tentera Israel dan Hizbullah menyebabkan sekurang-kurangnya 109 maut di sempadan Lubnan, kebanyakannya pejuang serta tiga wartawan.

Israel pula kehilangan sekurang-kurangnya sembilan orang, enam daripadanya askar. - AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow