Sumbangan Kerajaan Negeri Disambut Syukur, Pacu Kecemerlangan Pelajar
Penerima sumbangan cek daripada Kerajaan Negeri Pahang semalam melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan dalam menyokong usaha pembangunan pendidikan dan kebajikan pelajar.
Menurut Encik Muhammad Aziz Ramli, 55, sumbangan sebanyak RM5,000 yang diterima ini amat bermakna dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kecemerlangan pelajar-pelajar STAM (Persatuan Sijil Tinggi Agama Malaysia) di Sekolah Menengah Agama Al-Maarif.
"Kami amat menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri, terutamanya YAB Menteri Besar Pahang atas sumbangan ini. Dana ini akan digunakan bagi menganjurkan bengkel kecemerlangan khusus buat pelajar-pelajar STAM agar mereka dapat terus maju dalam akademik dan sahsiah," katanya.
Sementara itu, wakil Persatuan Didikan Kemajuan Pelajar-Pelajar India Negeri Pahang (PDKPPINP), Puan R. Sivaneswari, 47, turut menzahirkan kegembiraan apabila menerima sumbangan bernilai RM10,000 bagi menyokong pelajar yang memerlukan.
"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang yang prihatin terhadap cabaran kewangan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar India. Sumbangan ini akan digunakan untuk penganjuran 'Achievers Award' bagi menghargai pencapaian pelajar cemerlang SPM dan STPM," ujar beliau.
Kesemua sumbangan disampaikan sempena Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), dan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada majlis tersebut, sejumlah RM548,590 telah disalurkan kepada 29 penerima merangkumi pelbagai persatuan, institusi dan inisiatif kebajikan yang memberi impak terus kepada rakyat Pahang.
Apa Reaksi Anda?











