Trump dalam dilema, konflik AS-Iran tiada jalan keluar
Konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran memasuki fasa yang semakin kompleks apabila pentadbiran Presiden, Donald Trump memilih pendekatan yang tampak strategik iaitu mengejar dua jalan keluar daripada peperangan secara serentak.
Strategi yang dirujuk sebagai two off‑ramps itu cuba menggabungkan tekanan ketenteraan maksimum dengan peluang diplomatik pada masa yang sama, namun mesej bercampur aduk dan matlamat yang tidak jelas mencetuskan kebingungan mengenai rancangan tersebut.
Bagi Trump, ia menawarkan fleksibiliti iaitu jika satu laluan gagal, laluan lain masih terbuka.
Namun, perkembangan semasa menunjukkan bahawa strategi itu bukan sahaja sukar dilaksanakan malah berisiko menyebabkan Trump yang acap kali membuat pusingan U ‘terperangkap’ dalam pelan tanpa hala tuju.
Trump melihat strategi two off‑ramps itu dibentuk atas dua laluan utama iaitu satu pilihan ketenteraan yang bertujuan memperhebat serangan untuk melemahkan keupayaan Iran yang semestinya mustahil sama sekali.
Jika ia berlaku, beliau mungkin akan mengumumkan ‘kemenangan’ meskipun hanya mencapai matlamat taktikal
Pilihan kedua pula untuk mendesak Teheran kembali ke meja rundingan dan mencapai gencatan senjata atau perjanjian berat sebelah yang lebih menguntungkan Washington. Strategi itu menggunakan pendekatan klasik iaitu 'keamanan melalui kekuatan'.
Kempen retorik yang dilancarkan Trump sejak minggu lalu menunjukkan pemimpin Republikan itu sedang ‘mengejar’ kedua-dua pilihan secara serentak.
Hal itu kerana pendiriannya jelas tidak konsisten sejak lebih sebulan lalu, seketika ‘berlembut’ dengan mengumumkan perang akan berakhir dalam masa terdekat, tidak lama selepas itu beliau kembali mengugut Iran.
Tekanan maksimum yang digunakan Trump termasuk pengerahan pasukan tentera tambahan dan kapal perang ketiga ke Asia Barat sedikit sebanyak akan melemahkan kepercayaan Iran terhadap niat sebenar diplomatik AS memandangkan ia sering bermain tarik tali sebelum ini.
Ia dijangka menguatkan lagi persepsi bahawa Washington sebenarnya hanya berpura-pura dan tidak serius mahu berdamai.
Teheran sendiri mengekalkan pendirian tegas dan enggan menghentikan serangan balas selagi tuntutan mereka tidak dipenuhi AS. Dalam situasi ini, Trump mungkin terpaksa akur, namun pada masa sama beliau enggan dilihat sebagai ‘pihak yang lemah’ kerana tunduk kepada Iran.
Walaupun dibom bertalu-talu, Teheran telah mengejutkan musuh dengan kemampuannya untuk bertahan dan melancarkan tindak balas asimetrik, malah ia juga tidak teragak-agak mengawal laluan perdagangan penting di Selat Hormuz yang menjadi ‘nadi bekalan tenaga dunia’ tanpa menghiraukan ancaman Washington.
Langkah tersebut membolehkan Iran mengekalkan kelebihan taktikal tanpa perlu berunding dari posisi lemah. Dalam erti kata lain, Teheran tidak berasakan sebarang keperluan mendesak untuk memilih mana-mana off-ramp yang ditawarkan Washington.
Keadaan sedemikian dijangka terus menambah tekanan kepada Trump, apatah lagi apabila rakyat Amerika sudah mula mempersoalkan kos perang yang kian meningkat dan risiko konflik berpanjangan yang memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik termasuk lonjakan harga bahan api.
Pada masa sama, sekutu tradisional AS di Eropah juga secara terang-terangan tidak menyokong kempen pencerobohan ke atas Iran. Ketiadaan sokongan antarabangsa terutamanya Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan menggugat kuasa Washington untuk memberi tekanan kolektif terhadap Teheran.
Gabungan pelbagai faktor itu menjadikan usaha Trump mencari jalan keluar daripada peperangan terus berdepan kebuntuan.
Strategi two off-ramps yang menawarkan beberapa pilihan dan menjamin hasil yang lebih baik hanyalah satu ilusi.
Justeru, yang tersisa bukan sekadar dua jalan keluar tetapi satu persoalan besar: Adakah penyelesaian yang didambakan Trump yang dilihat seperti sudah lelah berperang wujud sama sekali?
Apa Reaksi Anda?











