UMNO ‘Sucikan’ Dap Sekadar Gendang Politik Pihak Lawan

Oleh : BARD
Mei 8, 2025 - 11:00 MYT
UMNO ‘Sucikan’ Dap Sekadar Gendang Politik Pihak Lawan

Ahli parti diingatkan agar tidak mudah terjebak dengan mainan politik murahan pihak lawan yang masih meneruskan gendang mereka kononnya UMNO hari ini telah “mensucikan” Dap, terutama pasca Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning baru-baru ini.

Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dato Sri Mohd Sharkar Shamsudin, momokan sedemikian hanyalah sekadar usaha untuk mengaburi rakyat ekoran keputusan PRK Ayer Kuning yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak pelik pun dengan gendang politik murahan mereka kerana tohmahan sedemikian adalah perkara biasa yang akan dicanang. Yang jelas, UMNO dan BN hari ini berada pada landasan tersendiri untuk memastikan kestabilan politik semasa.

“Cukup-cukuplah dengan mainan sedemikian rupa. Hari ini, pastinya negara memerlukan sebuah kerajaan yang kuat untuk memastikan kestabilan, bukan sahaja dalam sektor ekonomi, malah dalam aspek berkaitan politik.

“Sebenarnya, itulah yang akan dicanang dalam usaha mengalih tumpuan daripada persoalan sebenar. Hakikatnya, bukankah hari ini UMNO dan BN telah memainkan peranan tersendiri dalam Kerajaan Perpaduan?” katanya.

Isu berkaitan penglibatan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan terus menjadi tumpuan pihak lawan yang menimbulkan pelbagai tohmahan, termasuklah kononnya UMNO telah “mensucikan” Dap.

Sharkar seterusnya menambah, jika dilihat kepada sejarah, bukankah Pas sebelum ini pernah bersama Dap dan apakah mereka lupa kepada hakikat berkenaan?

“Kalau mereka lupa, saya ingin ingatkan… bukankah dulu Pas pernah bersama, dan apakah dalil yang digunakan pada waktu itu? Hari ini, kita bersama dengan Pakatan Harapan dalam Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada pelbagai parti.

“Langkah yang diambil itu, jika kita ingin ulas, rasanya telah diperjelaskan oleh pelbagai pihak dengan panjang lebar. Jadi, kepada mereka yang masih memainkan isu ini, cukup-cukuplah. Insya-Allah, UMNO terus berada di landasan dan paksinya tersendiri,” ujarnya. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow